Wan Azizah lepas jawatan TPM, jika suami jadi PM

Wan Azizah lepas jawatan TPM, jika suami jadi PM

Timbalan perdana menteri itu berkata, perkara itu bukan isu besar kerana memang niatnya sejak mula lagi untuk berundur jika Anwar Ibrahim dilantik sebagai perdana menteri.

Free Malaysia Today
Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia isu besar kerana situasi di mana jawatan timbalan perdana menteri dan perdana menteri disandang suami isteri tidak pernah berlaku di negara ini. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersedia mengundur diri daripada jawatan nombor 2 kerajaan, jika suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Beliau berkata, perkara itu bukanlah isu besar kerana situasi di mana jawatan timbalan perdana menteri dan perdana menteri disandang suami isteri tidak pernah berlaku di negara ini.

“Itu (situasi di mana jawatan timbalan perdana menteri dan perdana menteri disandang suami isteri) tidaklah…saya kira saya akan undur dirilah, tak payah jadi isu kerana itu memang niat saya daripada mula-mula lagi.

“Kenapa suami saya tidak boleh bertanding?…suami saya telah dizalimi, sekarang telah diampuni dan sekarang dia boleh ambil bahagian.

“Namun, kita ikut janji perdana menteri sekarang adalah Tun Dr Mahathir Mohamad dan saya timbalan perdana menteri,” katanya selepas melawat Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kedah/Anak Bukit di sini. hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang dipetik portal berita sebagai berkata, beliau akan melepaskan jawatan sejurus Anwar diangkat menjadi perdana menteri, namun siapa yang bakal mengisi jawatan timbalan perdana menteri belum diputuskan.

Ditanya apakah proses peralihan kuasa itu akan dipercepatkan, Dr Wan Azizah berkata, apa yang paling penting buat masa ini adalah melaksanakan mandat diberikan rakyat kepada kerajaan baru.

“Kita kena beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat.”

Mengulas projek RTB itu, Dr Wan Azizah berkata, ia kini di tahap 70% dan akan mengambil 18 bulan untuk siap sepenuhnya.

“Kita diberi taklimat dan mendapati sejak 2010, seramai 46,000 mangsa banjir dipindahkan. Banyak masalah lain seperti kerosakan bendang, harta benda, malah kehilangan nyawa yang berlaku. Sebab itu, kita ingin percepatkan RTB yang dijangka siap pada 2020.

“Kita juga diberitahu projek ini boleh siap dalam 18 bulan, jadi kerajaan pusat akan beri kerjasama untuk menjayakan projek RTB dan bajet tambahan RM62 juta diluluskan tahun lepas untuk kegunaan projek tersebut.”

Katanya, bajet tambahan itu akan digunakan untuk membina jalan lencongan bagi jambatan dari Jalan Alor Setar-Kangar dan jambatan Jalan Alor Setar-Gunung Keriang, yang mampu menyelesaikan masalah banjir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.