Ketua Pemuda Umno: Jangan aibkan Najib sebelum mahkamah jatuh hukum

Ketua Pemuda Umno: Jangan aibkan Najib sebelum mahkamah jatuh hukum

Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bekas perdana menteri itu kini diadili mahkamah media, bukannya mahkamah sebenar.

Free Malaysia Today
Asyraf Wajdi Dusuki (tengah) menyeru rakyat tidak menghukum Najib Razak sebelum perbicaraan mahkamah.
KUALA LUMPUR:
Ketua Pemuda Umno yang baru, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki meminta rakyat tidak mengaibkan dan menghukum Datuk Seri Najib Razak sebelum bekas perdana menteri itu dibicarakan di mahkamah.

“Jangan kita menghukum sebelum mahkamah menghukum, jangan kita aibkan dia sebelum dia dikenakan apa-apa hukuman.

“Masalahnya, hari ini beliau diadili di mahkamah media, bukan di kamar mahkamah sebenar,” katanya di lobi Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Asyraf yang hadir untuk memberi sokongan kepada Najib, menyeru rakyat kembali kepada prinsip seseorang itu tidak didapati bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

Najib yang ditahan di rumahnya di Taman Duta pada 2.35 petang semalam, berdepan 3 pertuduhan melakukan pecah amanah dan 1 dakwaan penyalahgunaan jawatan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM84 juta antara Disember 2014 dan Mac 2015.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ahli Parlimen Pekan itu selepas 4 pertuduhan dibacakan di depan Hakim Mahkamah Sesyen KL, Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.