
Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy berkata tuduhan beliau menyokong pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Ealam (LTTE), kumpulan bersenjata di sebalik perang saudara yang berlangsung selama 30 tahun di Sri Lanka, adalah fitnah dan pembohongan yang keterlaluan.
“Antara 2003 hingga 2006 saya terlibat dalam proses perdamaian di Sri Lanka melalui pihak Norway.
“Masa itu juga saya terlibat dalam proses perdamaian di Aceh, Indonesia. Penglibatan saya di Aceh menyebabkan perundingan dan penyelesaian konflik di Helsinki pada 2005.
“Jadi penglibatan seperti didakwa tidak boleh diertikan sokongan saya kepada pengganas,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan PAS supaya polis menyiasatnya yang dikatakan terlibat dengan LTTE selepas gambar beliau menunjukkan kesetiaan kepada organisasi terbabit.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata polis harus menyiasat gambar yang menunjukkan Ramasamy memberi penghormatan kepada satu bingkai bergambar senapang kalashnikov serta menerima kunjungan ahli politik India yang menyokong kumpulan pemisah Tamil di Sri Lanka.
Mengulas lanjut, Ramasamy turut mempersoalkan kenapa tidak timbul sokongan beliau kepada Aceh yang mempunyai 99% orang Islam.
“Adakah Gerakan Aceh Merdeka sebuah organisasi terrorist,” soalnya.
Ramasamy menambah, sekiranya PAS mempunyai bukti, mereka sepatutnya menyerahkannya kepada polis.
Beliau berkata polis boleh menjalankan siasatan ke atasnya jika pihak berkuasa itu mahu.
“Saya mesti ingatkan PAS, kurangnya pengetahuan dalam ehwal global boleh mendatangkan bahaya. Kenapa perlu menyembunyikan perkara sebenar jika isu sebenarnya mengenai Zakir Naik,” katanya.
Selain PAS, Ramasamy juga menjadi sasaran beberapa aktivis Islam termasuk Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin, berhubung keengganan kerajaan mengusir Zakir yang berdepan tuduhan berkaitan keganasan di India.
Beliau baru-baru ini menafikan terlibat dalam kumpulan pemisah LTTE selepas gambarnya mengambil bahagian dalam pertemuan melibatkan Jawatankuasa Hal Ehwal Perlembagaan LTTE tersebar di media sosial.