Nama Dr M dipetik dalam pilihan raya Pakistan

Nama Dr M dipetik dalam pilihan raya Pakistan

Calon perdana menteri Liga Muslim Pakistan berikrar akan mencontohi Dr Mahathir dalam membangunkan Pakistan.

Free Malaysia Today
Calon perdana menteri Shehbaz Sharif berkata dia akan mendapatkan nasihat Dr Mahathir dan Erdogan. (Gambar Twittter)
PETALING JAYA:
Pemimpin parti politik konservatif yang bersetuju dengan bekas perdana menteri Pakistan, Nawaz Sharif, berikrar akan memacu Pakistan mengatasi seteru ketat, India, dengan mencontohi kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Shehbaz Sharif, abang kepada Nawaz yang mengetuai Liga Muslim Pakistan-Nawaz (PML-N) berkata, dia mahu bertemu Dr Mahathir dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan untuk belajar daripada mereka dan “menjadikan Pakistan negara yang hebat”, lapor saluran berita berbahasa Urdu, Express News.

“Bila saya bercakap tentang mengangkat Pakistan setanding Turki dan Malaysia, ia bermakna negara-negara bersaudara ini mencapai tahap pembangunan yang tinggi.

“Saya mahu belajar dari Saudara Dr Mahathir dan Saudara Erdogan dan menggunakan rahsia pembangunan mereka di Pakistan,” kata Shehbaz di satu himpunan pilihan raya semalam di Sargodha, Punjab, di mana dia berkhidmat sebagai ketua menteri.

Shehbaz dinamakan sebagai calon perdana menteri jika partinya memenangi pilihan raya umum pada 25 Julai ini.

Tetapi dia bukanlah ahli politik pertama yang secara terbuka berkata dia mengagumi pemimpin Malaysia itu.

Selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya pada Mei, bintang kriket dan ahli politik, Imran Khan, yang mengetuai Parti Tehreek-e-Insaf (PTI), memuji slogan anti-rasuah Dr Mahathir.

“Rasuah Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, menjadi sebab utama Dr Mahathir keluar dari persaraan 15 tahunnya untuk memenangi pilihan raya walaupun ada cubaan oleh kerajaan Najib untuk memanipulasi pilihan raya itu.

“Tahniah kepada Dr Mahathir dan rakyat Malaysia,” kata Imran di Twitter pada Mei. Partinya sedang bersaing dengan parti Sharif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.