
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendapati permohonan Najib sebagai tidak kukuh dan dengan itu menolak notis usul bagi perintah larangan.
“Lagipun, terma spesifik bagi perintah larangan yang dimohon, dalam kes ini, jika diberikan akan menjejaskan hak perlembagaan untuk kebebasan bersuara dan berucap bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan serta terkeluar daripada keadilan bagi prinsip keadilan terbuka dalam Seksyen 15 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
“Ini sebahagian daripada asas teknikal bahawa skop bagi perintah larangan yang dicadangkan di dalam notis usul itu adalah tidak konsisten dan dalam keadaan ini, saya berpendapat ia tidak menggalakkan objektif undang-undang sebagai instrumen keadilan. Mengambil kira alasannya yang pelbagai, saya dengan ini menolak permohonan ini,” katanya.
Beliau juga berkata walaupun mahkamah mungkin mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah larangan dengan mengambil kira perintah itu dibenarkan dalam kes sebelum ini, penentuan sebenar terhadap perbicaraan adil dan pentadbiran keadilan membawa kepada mahkamah untuk merumuskan permohonan itu tidak boleh berjaya berdasarkan alasan berkenaan.
Pertamanya, beliau berkata undang-undang menghina dan fitnah sedia ada sudah menyediakan langkah untuk menguruskan mana-mana risiko besar bagi prejudis atau campur tangan dalam sistem keadilan jenayah seumpama itu.
Hakim Mohd Nazlan berkata keduanya, larangan sebelum ini dalam bentuk sebagai lanjutan kepada undang-undang menghina hanya boleh diberikan dalam keadaan amat luarbiasa, iaitu dalam keadaan risiko besar bagi prejudis jelas dilihat sebagai pasti dan serius.
“Iaitu dalam mana-mana keadaan wujud bebanan berat yang menunjukkan kehadiran risiko besar bagi prejudis terhadap perbicaraan adil atau pentadbiran keadilan melibatkan menghina dan larangan sebelum ini memandangkan fakta kes-kes dibicarakan di hadapan seorang hakim yang bersidang sendirian tanpa juri,” katanya.
Terdahulu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berhujah anak guamnya mempunyai hak kepada perbicaraan adil dan bukan diadili oleh media atau mahkamah pendapat orang awam.
Beliau berkata komen teruk oleh media dan orang awam terhadap anak guamnya mempunyai kecenderungan untuk mengapi-apikan dan mencetuskan kekalutan terhadap pemohon (Najib) dan merit kes itu, sambil menegaskan kenyataan teruk itu akan menyebabkan Najib dikatakan bersalah terhadap pertuduhan dihadapinya.
Shafee turut membacakan beberapa laporan daripada laman pemberi maklumat Sarawak Report dan komen daripada orang awam yang diterbitkan dalam Malaysiakini yang beliau sifatkan sebagai tuduhan serius yang mendorong prejudis terhadap Najib.
Beliau berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Seri Shukri Abdull, Peguam Negara Tommy Thomas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Ahli Parlimen Damansara Tony Pua turut membuat kenyataan buruk tentang Najib berhubung kes itu.
“Mereka membuat kenyataan biadap dan berbisa ke atas anak guam saya. Bagaimana beliau akan mendapat perbicaraan yang adill?” kata Shafee.
Beliau juga berkata pihak pembelaan bimbang dengan pentadbiran keadilan susulan perbicaraan oleh media menerusi komen dibuat orang awam dan artikel diterbitkan berkaitan dengan kes anak guamnya yang mungkin memperlekehkan badan kehakiman.
“Perintah larangan ini akan mencegah orang awam daripada diberikan ‘oksigen publisiti’ yang akan mendatangkan impak teruk ke atas anak guam saya dan perbicaraan,” katanya.
Shafee berkata bagaimanapun media boleh melaporkan apa yang berlaku dalam mahkamah termasuk kenyataan tidak adil oleh hakim atau saksi sepanjang perbicaraan berlangsung.
“Kami tidak menghalang dilaporkan apa-apa yang berlaku dalam mahkamah tetapi kenyataan dan komen oleh orang awam terhadap anak guam saya yang lebih awal menganggap anak guam saya bersalah,” kata Shafee sambil menambah mahkamah sepatutnya membenarkan perintah larangan itu kerana bahaya sebenar wujud ekoran perbicaraan oleh media dan orang awam akan menimbulkan prejudis yang akan menjejaskan hak Najib untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.
“Mahkamah ini diberikan bidang kuasa sewajarnya dan juga mempunyai kuasa untuk memberikan perintah lebih awal seperti dimohon oleh pemohon,” katanya.
Ketua Bahagian Rayuan dan Bicara Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria berkata orang awam mempunyai hak untuk membuat kenyataan dan mahkamah tidak boleh menghalang mereka daripada berbuat demikian.
Beliau berkata mahkamah tidak akan dipengaruhi oleh kenyataan-kenyataan dalam membuat keputusan.
Merujuk kepada kenyataan dan komen dibacakan oleh Shafee, beliau berkata “mereka berhak untuk membuat komen seumpama itu”.
“Pemohon boleh mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap mereka, tetapi sehingga sekarang tiada satu kes pun dikemukakan oleh pemohon terhadap mereka di mahkamah,” katanya.