NGO tak hasut kami tuntut tanah adat, kata Orang Asli Kelantan

NGO tak hasut kami tuntut tanah adat, kata Orang Asli Kelantan

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan berkata, tuntutan itu berdasarkan kesedaran mempertahankan tanah adat nenek moyang daripada diceroboh sehingga menyukarkan kehidupan mereka.

Free Malaysia Today
Mustafa Along berkata, masyarakat Orang Asli akan tetap meneruskan sekatan di 3 laluan utama pembalakan, iaitu Pos Bihai, Tohoi dan Pasik. (Gambar Facebook)
GUA MUSANG:
Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan menafikan mereka dihasut badan bukan kerajaan (NGO) untuk menuntut tanah adat milik mereka di negeri itu.

Pengerusinya, Mustafa Along berkata Orang Asli bangkit menuntut hak mereka atas kesedaran mempertahankan tanah adat diwarisi daripada nenek moyang mereka daripada diceroboh sehingga menyukarkan kehidupan masyarakat itu.

“Kami sedih kerana kerajaan negeri bagi pelbagai alasan berhubung tuntutan kami untuk mewartakan tanah adat itu,” katanya di sekatan Kampung Kaleg, Pos Tohoi, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan semalam yang berkata, tiada istilah tanah adat Orang Asli di Kelantan dan masyarakat itu menentang kerajaan Kelantan atas hasutan NGO tertentu.

Mustafa berkata, masyarakat Orang Asli akan tetap meneruskan sekatan di 3 laluan utama pembalakan, iaitu Pos Bihai, Tohoi dan Pasik.

“Masyarakat kami tidak pernah gentar dengan pelbagai ugutan daripada pihak tertentu, selepas 2 kali berlaku kekecohan di sekatan Kampung Kaleg baru-baru ini,” katanya.

Seorang penduduk, Harun Alang, 46, berkata masyarakatnya akan terus berkumpul di 3 sekatan itu bagi menghalang pencerobohan di tanah adat mereka.

“Kami sedar jika tidak bertindak demikian, kemungkinan tanah adat masyarakat kami akan hilang dan menimbulkan lebih banyak masalah bagi generasi Orang Asli akan datang.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.