Rafizi: Saya sedia berdebat dengan Azmin

Rafizi: Saya sedia berdebat dengan Azmin

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata PKR malu besar jika tidak mengadakan debat kerana Umno melakukannya.

Free Malaysia Today
Rafizi Ramli yang bertanding merebut jawatan timbalan presiden PKR berkata, beliau akan menolak lantikan Kabinet sekiranya memenangi jawatan itu.
PETALING JAYA:
Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata beliau sedia berdebat dengan timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersempena pemilihan parti kali ini.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu bertanding menentang Azmin bagi jawatan timbalan presiden PKR.

“Kalau tidak ada debat, amat memalukan kerana Umno melakukannya sebelum ini,” katanya dalam satu temu bual dengan Astro Awani malam tadi.

Beliau berkata, debat wajar diadakan bagi menjelaskan isu.

Jun lepas, sebelum berlangsungnya pemilihan Umno, satu debat diadakan antara calon utama bagi kerusi presiden parti itu yang melibatkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Rafizi melancarkan kempen beliau bagi merebut jawatan timbalan presiden PKR dan menyenaraikan 8 orang sebagai regu penyokongnya dalam pemilihan tersebut.

Mereka terdiri daripada Nurul Izzah Anwar, Datuk Johari Abdul, William Leong, S Kesavan, Fuziah Salleh, Rodziah Ismail, Akmal Nasir dan Raymond Ahuar.

Rafizi mengisytiharkan sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam temu bual itu juga, Rafizi berkata, beliau akan menolak lantikan dalam Kabinet sekiranya memenangi persaingan timbalan presiden PKR.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.