
Malah, pemimpin akar umbi yang juga perwakilan Pemuda PAS turut menyatakan Ahli Parlimen Bachok Mohd Syahir Che Sulaiman berpotensi diketengahkan sebagai calon perdana menteri masa depan mereka.
Menolak hanya Samsuri iaitu menteri besar Terengganu lebih dikenali Dr Sam sebagai calon tunggal bagi jawatan itu, perwakilan berpandangan PAS tidak ketandusan pemimpin berwibawa yang boleh memerintah negara walaupun ada ‘cakap-cakap’ mengatakan mereka tidak pandai mentadbir.

“Mereka semua layak. Walaupun kita tak bercakap soal calon perdana menteri pada PRU16 tapi mereka layak diketengahkan pada pilihan raya akan datang. Persepsi mengatakan PAS hanya ‘parti lebai’ tak ada calon layak memimpin adalah silap,” kata perwakilan dari Segambut, Kuala Lumpur, Amir Shamiz Zainudin kepada FMT.
Katanya, kepimpinan PAS terbukti apabila parti itu yang dulunya hanya sinonim dengan Kelantan namun kini menguasai Terengganu, Kedah dan Perlis sekali gus menunjukkan rakyat semakin yakin dengan kemampuan pemimpin mereka.
Amir mengakui sehingga kini Samsuri adalah pemimpin terkedepan untuk diangkat sebagai calon perdana menteri PAS mengambil kita prestasinya yang ‘cemerlang’ mentadbir Terengganu.

Perwakilan dari Tebrau, Johor, Ezwan Rafiq Husin, berkata pandangan bahawa Samsuri dan Sanusi layak diangkat sebagai perdana menteri membuktikan PAS tidak ketandusan calon.
“Saya sendiri secara peribadi menyokong Samsuri sebagai perdana menteri tetapi dalam PAS kita terbuka kepada musyawarah,” katanya ditemui ketika Muktamar Pemuda PAS ke-65 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau.
Bagi Mohamad Fakri Omar dari Beruas, Sanusi layak diangkat sebagai perdana menteri kerana ketokohan yang sangat menjiwai rakyat.
“Dalam PAS kita ada pelbagai lagi medium perbincangan…calon tak ketandusan, selain Samsuri ada calon lain layak, ada kata Sanusi layak sebagai perdana menteri.”

Sementara itu, perwakilan dari Kubang Kerian, Kelantan, Wan Ahmad Fathi Wan Abdullah setuju jika Samsuri diangkat sebagai calon perdana menteri kerana beliau cukup ‘pakej’.
“Beliau berpendidikan, pandai berbicara dan diterima rakyat. Malah lama menjadi setiausaha politik tok guru (Presiden PAS Hadi Awang). Cuma dalam PAS ini…pemimpin kami tak mengejar jawatan jadi masing-masing tidak akan menunjukkan kebolehan sebenar selagi belum dipilih secara rasmi,” katanya.

Anas Al-Kautsar Zaini, perwakilan dari Larut, Perak, berkata siapa sahaja yang diputuskan kepimpinan PAS sebagai calon perdana menteri akan diterima, walaupun pelbagai pihak memberikan pandangan siapa lebih layak.
Sebelum ini, Samsuri yang juga naib presiden PAS dan Ahli Parlimen Kemaman diuar-uarkan berpotensi sebagai calon perdana menteri PN pada masa depan dan ia diakui Pengerusi Muhyiddin Yassin.
Perkara itu dinyatakan Muhyiddin ketika berkempen untuk Samsuri di PRK Kemaman tahun lalu.