
Syahruddin Awang Ahmad berkata cadangan itu boleh ditafsirkan cubaan GRS memperkukuhkan ‘dominasi parti tempatan’, menyebabkan parti nasional merasakan ruang politiknya semakin terhad.
“Cadangan GRS bertanding di 52 kerusi DUN akan memberi implikasi politik yang ketara terhadap kerjasama dalam kerajaan campuran Sabah.
“Pembahagian kerusi tidak adil atau tidak mencerminkan kekuatan sebenar setiap parti akan memberi kesan,” kata timbalan dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) kepada FMT.
Syahruddin percaya parti nasional rakan dalam blok pemerintah mungkin keberatan menyokong cadangan itu kerana ia secara langsung mengancam kedudukan dan pengaruh mereka.
“Faktor utama yang mempengaruhi keputusan mereka adalah kebimbangan akan kehilangan kerusi yang kini dipegang atau kerusi yang berpotensi dimenangi,” katanya.
“Sebagai contoh, parti seperti Umno yang mempunyai sejarah kukuh di Sabah akan melihat cadangan ini sebagai percubaan GRS untuk ‘makan’ kerusi mereka.”
Ahad lalu, media melaporkan gesaan Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah Masiung Banah supaya GRS bertanding 52 kerusi jika bekerjasama dengan parti nasional, dengan baki 21 kerusi diserahkan kepada rakan kerjasama.
Dalam pada itu, Lee Kuok Tiung juga dari UMS percaya pertandingan tiga penjuru atau lebih tidak dapat dielakkan sekalipun kerjasama politik dapat disepakati.
“Pertindihan kawasan merupakan sesuatu yang sukar dielakkan. Akan berlaku di mana semua parti bebas untuk bertanding,” katanya.
Romzi Ationg juga dari universiti mencadangkan urusan berkaitan pembahagian kerusi diserahkan kepada ketua-ketua gabungan.
“Ini bagi mengurangkan kesan negatif,” katanya.