
Beliau berkata, SPRM juga tidak menolak kemungkinan lebih banyak kertas siasatan dibuka dalam tindakan melucutkan hak aset itu.
Mengulas kenyataan peguam isteri Daim dan keluarga yang menyifatkannya tidak masuk akal dan dibuat tanpa asas perundangan, Azam berkata mereka berhak menyuarakan apa sahaja pandangan.
“Berasas atau tidak, itu adalah pandangan beliau dan mereka juga mempunyai hak untuk menyuarakan apa sahaja pandangan mereka.
“Namun di pihak saya, kita akan meneruskan tindakan yang diatur dan dirancang, bagi tujuan menentukan hak untuk harta-harta itu, yang kita rasakan ia diperoleh dengan menyalahi undang-undang,” katanya selepas merasmikan satu acara di Kajang hari ini, menurut Berita Harian.
Azam sebelum ini mengesahkan SPRM sedang berusaha untuk melucutkan hak aset milik Daim dan keluarganya.
Selain RM2 bilion harta Daim yang kini dibekukan SPRM, agensi itu percaya masih ada harta tidak diisytiharkan di luar negara.
Dalam pada itu, beliau juga berkata jumlah lapan kertas siasatan sedia ada mungkin bertambah.
“Jumlah keseluruhan harta yang dikesan SPRM setakat ini adalah RM2 bilion tetapi ia mempunyai pecahan-pecahannya (untuk dilucutkan hak).
“Setiap harta yang berkaitan (dilucutkan hak) memerlukan satu permohonan kertas siasatan. Setakat ini ada lapan kertas siasatan sahaja yang dibuka dan ya, ia mungkin bertambah. Mungkin selepas ini,” katanya.