15 maut bas bawa pelajar UPSI kemalangan di Gerik

15 maut bas bawa pelajar UPSI kemalangan di Gerik

Bas yang membawa pelajar UPSI itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjong Malim, Perak.

Keadaan sebuah bas yang terbalik selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Gerik-Jeli berhampiran Tasik Banding di Gerik, awal pagi tadi. (Gambar Facebook)
IPOH:
Sekurang-kurangnya 15 maut dalam kemalangan melibatkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan sebuah kenderaan, dalam kejadian di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, Gerik, awal pagi tadi.

Pusat Kawalan Operasi Daerah, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung insiden tersebut dari Hospital Gerik pada 1.10 pagi tadi.

“Sampai di lokasi, didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah bas terbalik dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Alza,” kata kenyataan itu.

PKOD APM Hulu Perak turut memaklumkan keseluruhan 48 mangsa yang terlibat, termasuk 13 orang meninggal dunia di lokasi kejadian dan dua orang di hospital, manakala empat lagi mangsa tercedera.

Difahamkan bas yang membawa pelajar UPSI itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjong Malim, Perak.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba Perak Sayani Saidon dalam kenyataan berasingan berkata bas dan kereta jenis Perodua Alza itu dalam laluan yang sama iaitu dalam perjalanan dari Jeli, Kelantan ke Gerik.

Beliau turut mengesahkan kemalangan melibatkan mangsa seramai 48 orang dalam kemalangan yang menyebabkan bas terbalik dan kereta terbabas ke dalam parit. itu.

“Terdapat mangsa yang berjaya keluar dengan sendiri, ada mangsa yang tercampak keluar dan ada mangsa yang masih berada di dalam bas.

“Ketua Operasi melakukan size up dan mengaplikasikan konsep saver dengan mengarahkan anggota membuat pemotongan pada bahagian belakang bas, untuk membuat ruang kerja dengan menggunakan peralatan khas pemotong hidraulik,” katanya.

Sayani berkata apabila ruang kerja berjaya dilakukan didapati terdapat enam mangsa yang masih berada di dalam bas.

Sayani berkata tindakan penyelamatan seterusnya dilakukan oleh bomba dengan menstabilkan mangsa yang cedera dan membawa mereka keluar dari dalam bas dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.

“Mangsa-mangsa yang cedera termasuk yang berjaya keluar dengan sendiri diberi rawatan awal oleh pihak KKM yang berada di lokasi. Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Mangsa yang cedera dihantar ke hospital dengan menggunakan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), ambulans KKM dan APM,” katanya.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Norkhalid Salimin ketika dihubungi berkata kebanyakan penumpang bas merupakan pelajar UPSI yang dalam perjalanan dari Terengganu, pulang ke kampus di Tanjong Malim selepas cuti perayaan Aidiladha.

“Semua mereka berkumpul di Jerteh dan menyewa bas sendiri untuk pulang ke kampus di Tanjong Malim selepas pulang beraya di kampung halaman masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir berkata kementerian itu akan menyalurkan segala bantuan yang diperlukan susulan tragedi itu.

Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kemalangan yang turut melibatkan warga UPSI.

“Sebarang maklumat lanjut akan dikemas kini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.