
Ia susulan peguam kedua-dua pihak memaklumkan kepada hakim yang mereka mencapai kata sepakat dan tidak akan meneruskan saman itu termasuk satu kes yang mana Zahid menuduh Mahathir menghina mahkamah.
Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong turut merakamkan penghargaan kepada kedua-dua pihak kerana tidak meneruskan perkara itu.
“Saman tersebut dibatalkan tanpa kebebasan untuk difailkan semula,” kata Gan memaklumkan setiap pihak akan menanggung kos masing-masing.
Mahathir yang genap 100 tahun pada 10 Julai, memfailkan saman ke atas Zahid berhubung istilah ‘Kutty’ yang didakwa berunsur penghinaan terhadap dirinya.
Dalam pernyataan tuntutan, Mahathir mendakwa Zahid memfitnahnya semasa mesyuarat Umno di Kelana Jaya, pada 30 Julai 2017.
Beliau mendakwa kenyataan itu bertujuan memberi gambaran beliau tidak dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Muslim, serta nama asalnya ialah Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty.
Dalam pembelaannya, Zahid menyatakan nama Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty merujuk kepada seorang individu berdasarkan maklumat salinan kad pengenalan lama.
Dalam pada itu, Zahid memfailkan saman selepas Mahathir mendakwa presiden Umno itu memohon bantuannya untuk ‘menggugurkan’ pertuduhan rasuah dihadapi.
Pada sidang media pada 23 Feb 2022, Mahathir mendakwa Zahid bersama beberapa individu lain telah berjumpa di kediamannya sejurus selepas PRU14 2018.
Beliau berkata, Zahid ingin ‘berbaik-baik’ sebelum Mahathir dilantik semula sebagai perdana menteri buat kali kedua, pada Mei 2018.
Zahid mendakwa kenyataan Mahathir itu tidak benar, tidak berasas, tidak wajar, dan berniat jahat.
Namun, Mahathir tetap mempertahan kenyataannya dan menyatakan beliau bersandarkan kepada pembelaan justifikasi.