
“Mereka ada hak, boleh buat apa sahaja. Kerajaan ada kuasa untuk disalah guna,” pengerusi Pakatan Harapan itu pada sidang media bersama pemimpin gabungan itu di bangunan Parlimen hari ini.
Bekas perdana menteri itu berkata tindakan serupa juga mungkin diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dr Mahathir berkata beliau mengalu-alukan tindakan itu tetapi berharap ia akan dipanjangkan kepada Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya.
“Saya rasa kita perlu adakan serbuan lebih kerap seperti ini kerana kita juga perlu serbu Najib, keluarganya, isterinya, anak lelakinya dan menantunya.
“Semua mereka perlu diserbu. Satu dunia menyebut tentang Najib tetapi tiada serbuan,” katanya.
Dua hari lalu, pegawai penguatkuasa LHDN dilaporkan menyerbu beberapa pejabat syarikat yang dikaitkan dengan 3 anak Dr Mahathir, iaitu Datuk Mokhzani Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Mirzan Mahathir.
FMT difahamkan selain Kencana Capital Sdn Bhd milik Mokhzani, LHDN turut menyerbu Opcom Holdings Berhad dan Crescent Capital Sdn Bhd.
Ia beberapa minggu selepas Dr Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan mendakwa kenalan rapatnya kini berdepan tindakan pihak berkuasa, termasuk diganggu perniagaan mereka menerusi LHDN.
Dr Mahathir hari ini berkata beliau bersedia disiasat sama ada LHDN atau SPRM.
“Mereka boleh periksa semua akaun saya… SPRM pun dialu-alukan.”
Sementara itu, Mukhriz yang juga naib presiden PH berkata siri serbuan itu bermotif politik dan sudah dijangka.
“Dan kami jangkakan ia tidak akan berhenti. Gangguan itu akan berpanjangan.”
Mukhriz berkata beliau akan bekerjasama penuh dengan LHDN kerana menganggap ia menjalankan tugas secara profesional, walaupun melaksanakan arahan daripada pihak “berkepentingan politik”.