
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika mengumumkan Bajet Alternatif di luar Dewan Rakyat berkata, hasrat mengembalikan cukai jualan dan perkhidmatan pada 2018 bukan tindakan populis, sebaliknya bertujuan meremajakan penggunaan.
“GST merupakan cukai regresif yang mengakibatkan peningkatkan kos mendadak secara kumulatif, dan akhirnya memberi kesan bebanan hidup secara langsung kepada rakyat tanpa terkecuali.
“Kalau dulu cukai hanya untuk golongan yang layak dicukai sahaja, tetapi dengan GST, tiada yang terkecuali termasuk golongan fakir miskin, penerima zakat,” katanya hari ini.
“Niat kami adalah untuk mengembalikan RM25.50 bilion ke dalam ekonomi dan membantu meringankan situasi suram ekonomi bagi semua orang.”
Katanya, PH juga bercadang menghapuskan kutipan tol menerusi pengambilalihan syarikat konsesi lebuh raya secara berperingkat, bagi meringankan beban rakyat.
Presiden PH itu berkata, subsidi minyak perlu diberikan kepada rakyat memandangkan Malaysia ialah negara pengeluar minyak, selain menaikkan kadar royalti minyak di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak sehingga 20%.
“Untuk itu kami mencadangkan subsidi minyak sekitar RM1 bilion pada 2018.
“Ini bermakna pengurangan 20 sen seliter untuk sejumlah 5.4 bilion liter petrol bersubsidi.”
Bagaimanapun, katanya, PH tidak bercadang mengembalikan subsidi gula atas faktor kesihatan, tetapi akan mengekalkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Beliau berkata, PH mengiktiraf BR1M berupaya membantu golongan memerlukan, tetapi mencadangkan penerimanya melakukan sesuatu yang positif bagi meningkatkan produktiviti mereka.
“Contohnya kami mungkin akan memberikan bayaran BR1M, bersyarat penerimanya mesti bekerja dan kekal bekerja sekurang-kurangnya 3 bulan.”
Wan Azizah berkata, PH juga akan mensyaratkan penerima BR1M menggunakan bantuan kewangan itu untuk perbelanjaan seisi keluarga, seperti membayar bil utiliti dan pendidikan.
“Untuk itu, kami perlu bekerjasama erat dengan pasar raya dan pembekal utiliti, oleh itu kami akan memperbaiki bantuan BR1M pada 2018 dan menggunakan jumlah RM5.4 bilion yang sama seperti kerajaan pusat bagi program bantuan sosial ini.”