
Ketika dihubungi, ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Ab Aziz Kaprawi, berharap media arus perdana akan berlaku “adil” dalam pemberitaan mereka.
“Tidak perlu nak berat sebelah kerana mereka (PH) memperjuangkan ketelusan,” katanya, di sebalik cara pemberitaan beberapa media yang sebelum ini hanya menyiarkan laporan negatif menghentam pemimpin PH, tetapi bertukar mesra kepada mereka selepas 9 Mei.
Beberapa badan media disokong Umno sebelum ini mengakui mereka perlu mengubah cara pemberitaan.
Ia termasuk New Straits Times Press, yang menerbitkan 3 akhbar harian, menggesa kakitangannya melakukan penyesuaian kepada “persekitaran politik baru”. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NSTP, Datuk Seri A Jalil Hamid baru-baru ini berkata akhbar terbitan syarikat itu perlu menyesuaikan diri dengan pendapat umum, dan mendakwa neutral sejak kekalahan BN.
Sementara itu, pengurusan tertinggi Kumpulan Utusan Melayu pula menerima tekanan melepaskan pegangan Umno dalam syarikat itu.
Aziz, yang tewas kepada calon dari PPBM di Parlimen Sri Gading, berkata media seharusnya bebas dalam memberikan maklumat kepada rakyat dan ia seharusnya benar.
“Semua parti memperjuangkan untuk rakyat cuma masing-masing mengunakan kaedah masing-masing. Saya rasa sewajarnya media arus perdana kena terbuka dalam hal ini,” katanya yang menyeru berita pihak pembangkang, iaitu BN, tidak disekat.
Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa pula berkata adalah terpulang kepada kerajaan sekarang untuk menentukan sama ada media akan berlaku adil.
“Macam mana saya nak jawab, itu anda kena tanya pihak kerajaan,” katanya, sambil menambah masih terlalu awal untuk memberikan pendapat.
Sementara itu, Ketua Pemuda MIC C Sivarraajh pula berkata media arus perdana seharusnya tidak takut untuk memberikan liputan kepada BN.
Menurutnya, sebelum ini, kerajaan BN membenarkan media memberikan input dan pandangan.
“Saya percaya mereka perlu semak dan imbang bukan untuk kritik mereka. Mungkin pandangan kami boleh diterima,” katanya.
Beliau pada masa sama berharap media arus perdana menyokong pendapat yang diberikan oleh BN seperti dalam isu memastikan polisi dan janji PH dipenuhi.