Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

Leisure Home LBoard

Percutian Krabi bawa lebih nilai

 | December 7, 2017

CNN Travel meletakkan pantai destinasi Krabi yang menghadap Laut Andaman di tangga ke-55 daripada 100 pantai tercantik di dunia.

krabifmt-ohsem-inside-article1Air laut yang jernih dan pasir pantai yang halus memutih serta persekitaran yang mendamaikan, begitulah indahnya pulau-pulau di Krabi yang terletak di selatan Thailand.

Maka tidak hairanlah sekiranya CNN Travel meletakkan pantai destinasi pelancongan ini yang menghadap Laut Andaman di tangga ke-55 daripada 100 pantai tercantik di dunia.

Penulis yang berkesempatan berkunjung ke Krabi dan pekan lain di bawah Program Jelajah Zeromile Kelab Media Johor begitu teruja melihat keindahan pulau ditambah dengan penduduk tempatan yang mesra pelancong dan kebanyakannya boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Program jelajah ini adalah salah satu inisiatif kelab berkenaan untuk meninjau kelebihan yang ada di pusat peranginan itu yang boleh dikembangkan di pusat pelancongan dalam negeri.

Bagaimanapun, mereka yang mahu melancong ke Krabi mahu pun bandar-bandar lain di Thailand perlu tahu sepanjang Oktober hingga Mac adalah waktu puncak kerana cuti sekolah.

Ada pelbagai cara untuk sampai ke Krabi, antaranya menaiki kapal terbang dari Terminal Lapangan Terbang Subang yang mengambil masa selama 1 jam 30 minit atau menaiki bas dari Johor Bahru yang memakan masa lebih kurang 15 jam seperti yang penulis lalui.

Perjalanan kami bermula daripada kilometer sifar di hadapan bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pada waktu malam dan sambil lena dibuai mimpi, kami mengharungi perjalanan lebih 800 kilometer yang memakan masa kira-kira 15 jam.

Selepas melewati Kompleks Kastam Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Kompleks Imigresen Sadao, kami akhirnya tiba di destinasi pertama kami di Taman Perkampungan Budaya Asia di Danok.

Danok pun ada I-city

Sehebat i-City di Shah Alam, Selangor, taman perkampungan itu dibina khas untuk aktiviti malam hari dengan setiap patung dan jalan dihiasi dengan lampu-lampu LED berwarna-warni selain taman-taman haiwan untuk pengunjung yang mahu melawat pada siang hari.

Kami kemudiannya bertolak ke Hatyai dan bermalam sebelum meneruskan perjalanan ke Krabi pada keesokan harinya.

Dalam perjalanan ke Krabi, kami singgah di Gua Le Khao Kob di wilayah Trang, yang menjadi antara destinasi pilihan bagi mereka yang gemarkan sukan lasak dan menjadi igauan ngeri bagi segelintir ahli rombongan.

Kebiasaannya, bila sebut sahaja lawatan ke gua, penulis membayangkan kami akan dibawa melihat stalaktit dan stalagmit yang terbentuk daripada air batu kapur ribuan tahun dahulu.

Ternyata jangkaan penulis meleset apabila ahli kelab dibahagikan mengikut kumpulan, iaitu 5 orang setiap kumpulan dan diarahkan berbaring di atas sampan untuk menyusuri mulut gua sejauh 350 meter dan tidak boleh langsung mengangkat kepala.

Awas, baringkan kepala dalam perahu

Cuba bayangkan perjalanan yang mengambil masa 20 minit itu terasa seperti berjam-jam lamanya dengan kami terpaksa berbaring dengan jarak muka dengan permukaan gua hanya beberapa inci sahaja.

Jeritan pemandu perahu yang sentiasa meminta kami terus berbaring sambil meletakkan sepenuh kepercayaan kepada mereka untuk patuh dengan arahan mereka, sedikit sebanyak mengurangkan debar di dada akan takut tercedera dek disebabkan ada kalanya muka terlalu dekat dengan dinding gua.

Bagi yang mempunyai masalah klaustrofobia atau ketakutan terhadap tempat-tempat sempit dan gelap dan terlalu gemuk, mungkin ini bukan aktiviti yang sesuai untuk anda.

Selepas “berjaya” keluar dari mulut gua berkenaan, apa yang menjadi tanda tanya adalah bagaimana mereka yang menjadi ‘peneroka’ kepada tempat ini boleh mendapat ‘idea gila’ untuk menjadikan tempat ini sebagai salah satu pusat pelancongan yang saban tahun menarik ramai pelancong.

Idea itu bagaimanapun berjaya menempatkan gua yang mendapat jolokan Gua Naga itu sebagai lokasi nombor 1 wajib dikunjungi oleh pelancong ke Krabi seperti dicadangkan TripAdvisor, sebuah portal terkenal pelancongan.

Kunjungan ke Krabi ini adalah yang ketiga bagi penulis dan ternyata banyak perubahan boleh dilihat di pekan ini sejak kali terakhir ke sana pada 2014.

Pekan Krabi lebih teratur, selamat

Ia dahulunya tidak sesak dengan pelancong sementara aktiviti peniaga malam pula diibaratkan seperti berjalan di Jalan Petaling, Kuala Lumpur dengan peniaga berlumba-lumba mempromosikan barangan jualan mereka.

Penulis perhatian keadaan kedai lebih tersusun rapi, tiada lagi kawasan yang tidak mempunyai lampu jalan sementara anggota polis dan tentera sekali-sekala kelihatan membuat rondaan.

Makanan di Krabi juga banyak berubah. Jika dahulunya makanan halal adalah satu pilihan, kini ia adalah satu kemestian! Sebagai contoh, di kiri dan kanan pantai Ao Nang kini penuh dengan gerai makanan halal selain menu yang lebih menyelerakan yang boleh dinikmati dalam suasana sekeliling yang nyaman.

Bagi penggemar aktiviti snorkeling atau menyelam, Pekan Ao Nang adalah tempatnya kerana harga peralatan aktiviti laut adalah jauh lebih murah berbanding harga yang ditawarkan di pasaran tempatan berikutan persaingan yang amat ketara di kalangan peniaga di sini.

Sebagai contoh, harga bagi beg kalis air 10 liter yang biasanya dijual pada harga RM50 di Malaysia boleh didapati pada harga serendah RM10 bagi jenama yang sama dan penutup muka anti-kabus snorkeling yang dijual pada harga RM300 pula boleh dibeli pada harga RM100.

4 pulau wajib dikunjungi

Salah satu pakej popular di Krabi adalah ‘pakej 4 pulau’ yang mana pelancong akan dibawa melawat 4 buah pulau yang terletak kira-kira 30 minit dari jeti pantai Nophatara.

Lokasi pertama adalah Pantai Railay yang terletak di hujung timur tanjung Phra Nang, yang terkenal dengan ‘Gua Puteri Phra Nang’ yang popular dengan kisah mitosnya.

Kisah mitos pulau ini berkaitan puteri bernama Phra Nang yang ingkar akan arahan bapanya untuk berkahwin dengan seekor ular gergasi, meskipun akhirnya puteri itu terpaksa patuh apabila ular itu mengugut untuk membunuh seluruh rakyat jelatanya sekiranya tidak mahu berkahwin dengannya.

Bagaimanapun, pada malam perkahwinan mereka, sang puteri bertindak menikam ular berkenaan. Sang puteri kemudian disumpah menjadi batu manakala tulang-temulang ular gergasi berkenaan pula dikatakan punca terjadinya pulau-pulau di sekitar Krabi.

Pulau Tub, destinasi kedua kami mempunyai tarikan tersendiri iaitu ‘laluan’ sepanjang 200 meter yang membolehkan pengunjung berjalan kaki ke Pulau Ayam, yang terletak bersebelahan. Pulau Ayam adalah destinasi ketiga di mana pengunjung boleh membuat aktiviti snorkeling.

Pengunjung bagaimanapun tidak dibenarkan memberikan makanan kepada ikan-ikan di kawasan ini untuk menjaga populasi ekosistem di kawasan berkenaan.

Pulau terakhir yang kami kunjungi ialah Pulau Poda, yang mana kami berehat untuk makan tengahari sebelum pulang ke pantai Nophatara.

Berdayung 3km di Sungai Tran

Dari laut, kembara kami diteruskan ke Tran Thong, di Satun, untuk aktiviti kayak. Sungai Tran Thong sangat sesuai bagi aktiviti kayak ini kerana aliran air sungai yang terkadang deras dan terkadang tenang selain rintangan batu dan akar pokok semula jadi.

Pengalaman penulis berkayak di laut sama sekali tidak boleh digunakan ketika berkayak di sungai. Meskipun kayak yang dinaiki terbalik 3 kali, penulis tetap kental meneruskan dayungan sejauh 3 kilometer.

Penat lelah aktiviti kayak kemudian ‘dibayar’ dengan ganjaran durian Thailand yang kebetulan sedang bermusim, dipadankan dengan air jus yang dibuat daripada Bunga Seri Pagi, sekaligus menghilangkan rasa penat dan menutup rangkaian aktiviti di Thailand.

Pengembaraan di Selatan Thailand kali ini banyak membuka mata penulis yang terdetik membuat perbandingan dengan perkhidmatan pelancongan yang terdapat di tanahair.

Malaysia, belajarlah daripada Thailand

Misalnya aktiviti memberikan makan kepada burung helang di Kilim Geoforest Park, Langkawi, berharga RM250 untuk aktiviti yang tidak sampai satu jam berbanding harga yang lebih kurang sama untuk mengelilingi empat buah pulau di Krabi.

Selain itu, rangkaian jaringan telekomunikasi yang sangat laju di setiap pulau yang terdapat di Krabi yang sering mendapat 4G sedangkan kadangkala, bila berada dalam bangunan penyedia perkhidmatan rangkaian sekalipun hanya mampu menerima signal 3G.

Penulis yang berasal dari Semporna, Sabah juga melihat setiap pemandu pelancong atau penyedia perkhidmatan pelancongan tidak lokek membantu pelancong yang lain meskipun pelancong berkenaan tidak membayar perkhidmatan mereka.

Pulau Perhentian Kecil disenaraikan sebagai pantai ke-13 tercantik di dunia mengalahkan Pulau Phi Phi Thailand di tempat ke 19 dan Hanalei Bay di Pulau Hawaii di tempat ke 27, namun begitu sebut sahaja isu sampah dan jaringan rangkaian, membuatkan kita terus jauh ketinggalan.

Pengusaha pelancongan di Malaysia boleh mencontohi semangat orang Thailand bukan sahaja dalam menguruskan produk pelancongan mereka tetapi memeliharanya supaya ia dapat dinikmati untuk generasi masa hadapan.

Malaysia bukan kekurangan dari segi tarikan tempat pelancongan dan budaya yang menarik tetapi masih banyak yang perlu dipelajari dari negara jiran dalam usaha memelihara produk pelancongan untuk berada di tahap yang boleh dibanggakan.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments