
Selain ceramah dan kempen, pilihan raya umum tidak lengkap tanpa pemasangan bendera parti di sekitar kawasan bertanding.
Ada kalanya, dengan hanya melihat jumlah bendera parti, kita sudah boleh mengagak kawasan itu milik siapa. Tetapi perang bendera bukan sekadar mencacak atau menggantungnya sahaja.
Cuba perhatikan sekitar kawasan anda mahu pun laman sosial, ramai yang berkongsi gambar bendera parti yang dihias atau direka menjadi sesuatu replika.
FMT Ohsem melayari laman sosial untuk berkongsi beberapa gambar bendera parti yang dipapar secara penuh kreatif sepanjang kempen PRU14 yang akan berlangsung pada 9 Mei ini.

Replika seperti kapal layar oleh Barisan Nasional (BN), replika buaya bendera PAS membaham bendera BN, kereta kebal PAS, wau BN, kapal layar PAS, replika burung oleh BN, pesawat perang PAS dan banyak lagi.
Selain itu, bendera ini juga dipasang di pintu gerbang yang besar, jala, bendera gergasi dan digantung secara sarat sepanjang jalan masuk sesuatu kawasan.
Rata-rata replika dan pemasangan kreatif ini banyak ditemui sekitar negeri di pantai barat membabitkan 2 parti iaitu Barisan Nasional dan PAS.

Selain bendera dan replika, papan iklan besar dengan mesej PRU oleh parti tertentu juga mendapat perhatian pengundi.
Misalnya, papan tanda Pakatan Harapan di Pulau Pinang yang menggunakan gambar asam laksa yang terkenal sama seperti populariti negeri itu di peta dunia di samping mesej ia negeri terbersih di rantau Asia.
Apa pun, kreativiti dan inovasi petugas dari parti ini dalam memperkasa kuasa masing-masing sememangnya harus dihargai.
