Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Bauksit: Lepas tiga bulan, apa cerita?

 | January 10, 2016

Semoga pemberhentian operasi perlombongan bauksit selama tiga bulan akan digunakan sebaiknya oleh kerajaan dalam mencari penyelesaian.

COMMENT

bauksit

Apa tujuan perlombongan bauksit dihentikan operasinya selama tiga bulan? Apa yang akan dilakukan dalam tempoh itu? Mungkin itu yang bermain-main dalam fikiran orang Kuantan.

Saya sangat menghargai langkah pihak berkuasa dan kerajaan yang mengambil pendirian tegas dengan menghentikan (walaupun) ‘sementara’ operasi perlombongan bauksit mulai 15 Januari akan datang. Ia didakwa untuk membolehkan pelan tindakan penyelesaian pencemaran dilaksana.  Hakikatnya, semua maklum betapa isu ini dari semasa ke semasa berkembang seperti penyakit kanser tahap satu, dua, tiga dan kini empat. Tahap empat, yakni tahap parah.

Sepanjang tahap satu hingga tiga, isu ini banyak diselindung. Samalah seperti pesakit kanser yang sebenar, pesakit tidak mahu menerima hakikat penyakit itu sebenarnya boleh membunuh. Sedangkan kalau dikesan pada dua tahap terawal mungkin banyak yang boleh dilakukan, mungkin boleh diselamatkan sepenuhnya.

Tetapi kini, ia berada di tahap di mana semua kementerian mengeluarkan kenyataan negatif. Bauksit menyebabkan pencemaran alam yang serius, kata menteri alam sekitar; bauksit boleh menyebabkan penyakit yang merbahaya kata menteri kesihatan; bauksit boleh membawa kesusahan yang berpanjangan kepada rakyat kata menteri, ops ahli Parlimen.

Tetapi walaupun berada di tahap ke-empat, bauksit tidak dihalang daripada beroperasi. Malah perlombongan bauksit ini hanya dihentikan sementara, itu sahaja. Namun saya percaya, pihak yang berbuat demikian tidak membelakangkan kesejahteraan rakyat Kuantan serta alam sekitar. Saya yakin, saya sangat yakin kerajaan akan memperjuangkan isu ini sehingga akhir demi kebaikan rakyat dan demi negeri Pahang. Semuanya supaya penduduk di sekitar kawasan itu tidak terkesan dengan ‘racun’ daripada bauksit, sama ada dari udara, air, bau, habuk atau tanah. Apa sahaja!

Saya yakin kerajaan dan pihak berkuasa akan selamatkan rakyat Kuantan!

Tetapi ada juga yang mempersoal, jikalau selepas tempoh tiga bulan, adakah operasinya akan disambung semula? Adakah tempoh tiga bulan ini tempoh ‘silap mata’ untuk pihak yang terlibat dalam ‘permainan’ ini mencari loophole bagaimana untuk mengelakkan diri mereka daripada dikesan rakyat, media dan oh ya, tentulah pihak berkuasa dan kerajaan!

Mungkin isu ini disenyapkan sementara daripada media dan pihak terlibat dapat membina ‘kubu’ yang kuat melawan penyusupan pihak berkuasa?

Jangan risau, kalau orang biasa macam saya boleh berfikir sejauh ini, saya pasti kerajaan dan pihak berkuasa pasti lebih ‘alert’ dan akan berjaga-jaga supaya isu perlombongan ini menemui satu penyelesaian yang benar-benar berpihak kepada rakyat!


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments