HSR ancam tanah orang Melayu

HSR ancam tanah orang Melayu

Pemaju berpotensi sasar tanah milik Melayu sepanjang jajaran keretapi laju

Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal

Laporan akhbar The Edge pada 5 Januari lalu berhubung peningkatan harga hartanah di sepanjang jajaran projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) sebenarnya membimbangkan.

Ini kerana peningkatan harga tanah di sepanjang jajaran HSR itu pasti menyebabkan nafsu pemaju membuak untuk mendapatkan keuntungan dengan menyasarkan pemilik tanah di jajaran HSR.

Mengikut akhbar itu yang memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MyHSR Corp Sdn Bhd, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal terdapat dua perkhidmatan HSR yang dipertimbangkan ketika ini, iaitu jajaran terus Kuala Lumpur-Singapura dan jajaran antara bandar membabitkan Seremban, Bandar Melaka, Muar, Batu Pahat and Nusajaya.

Mohd Nur Ismal berkata, pihak yang paling untung susulan pelaksanaan projek berkenaan ialah pemaju, terutama yang mempunyai bank tanah di sepanjang jajaran HSR.

Katanya: “Apabila HSR dibina, ia sudah tentu meningkatkan harga hartanah di kawasan yang terbabit, namun ia mengambil masa untuk direalisasikan. Keputusan mengenai projek itu masih belum dimuktamadkan.”

Kenyataan CEO MyHSR Corp Sdn Bhd itu meninggalkan tanda tanya kepada kita semua berhubung nasib pemilik tanah, terutama orang Melayu yang memiliki tanah di sepanjang jajaran itu.

Kita tahu, pemaju adalah kaum pemodal yang sentiasa memikirkan cara menjana keuntungan dan apabila berita sebegini diuar-uarkan, sudah tentu yang akan menjadi mangsa adalah pemilik tanah, yang mana majoritinya terdiri daripada orang Melayu yang tinggal dan bercucuk tanam di bahagian selatan Semenanjung Malaysia.

Inilah dilema yang cukup memeningkan pemerintah Melayu.

Mereka bimbang dengan nafsu serakah pemaju yang akan sentiasa mencari jalan mendapatkan tanah, dan gelap mata pemilik tanah yang memikirkan kepentingan peribadi dan keuntungan jangka masa pendek.

Bagaimanapun, jika mereka atau penduduk membantah, sudah tentu dituduh tidak bekerjasama, dilabel menolak pembangunan dan mungkin dicap termakan hasutan parti pembangkang.

Melihat kepada demografi penduduk di selatan tanah air, majoritinya adalah orang Melayu yang banyak bergantung kepada tanah sebagai sumber pendapatan.

Rata-ratanya bertani dan perkara ini ada disedari Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, di mana baginda sudah beberapa kali bertitah tahun lalu mengenai pelaksanaan projek berkenaan.

Antara titahnya ialah meminta lebih banyak kajian dilakukan berhubung impak projek HSR selain mahu pengambilan tanah diminima untuk projek itu.

Isu tanah penting terutama kepada orang Melayu dan perkara sebegini pastinya menyentuh sensitiviti mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.