Oleh Muhammad Syafiq Azmi
Seorang teman karib saya bertanya perihal Damian Yeo orang kuat DAP Melaka. Beberapa kali juga saya berpeluang bertentang mata dengan beliau dan pernah bersama-sama dalam satu program yang dinamakan sebagai Sidang Anak Muda Melaka.
Isu sebenar bukanlah apa yang ditanya Damian perlu dilihat sebagai satu bentuk penghinaan tetapi melihat ia sebagai persoalan yang harus dijawab secara hikmah dan bijak. Namun yang berlaku ialah sebaliknya malah ada yang menjadikan isu ini sebagai ruang menghentam Damian tanpa bertanya kepada beliau apa yang dimaksudkannya.
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Ayat 8, Al-Maidah)
Damian Yeo bertanya apakah dalam Islam setiap orang yang melakukan kesalahan tidak kira sama ada jenayah atau penipuan akan terhapus dosanya apabila menjejakkan kaki ke Mekah. Berbeza dengan yang ditimbulkan oleh sesetengah pihak bahawa Damian menghina kiblat orang Islam.
Apa yang dipersoalkan oleh Damian adalah apa yang sedang berlaku hari ini dan sekian lama. Ramai yang beranggapan selepas pulang dari menunaikan Umrah atau pun Haji maka mereka akan bersih dan akan terus mengulangi perbuatan buruk yang sama dan kemudian ke Mekah lagi.
Tanpa kita sedar Damian sebenarnya sedang membuka minda masyarakat Melayu Islam terutamanya supaya jangan dilihat hanya pada luaran. Dalam konteks yang dimaksudkan Damian ialah dikalangan ahli politik. Setelah menipu dan menzalimi rakyat maka mereka melakukan pembersihan imej dengan agama sebagai alat.
Begitu juga dalam agama lain. Ianya menjadi adat sehingga agama sering dipergunakan bagi mengaburi mata pentaksub mereka. Saya bersetuju dengan celahan David Cameron Perdana Menteri United Kingdom terhadap cara kempen Donald Trump yang menjadikan Islam sebagai sasaran. Cameron berkata Islam itu tidak ekstrim tetapi yang ekstrim adalah muslim yang radikal.
Ingat, hina dan tanya itu banyak beza.
Muhammad Syafiq Azmi merupakan Presiden Aspirasi Rakyat Marhaen (ARM)
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT
