Raja-raja Melayu bijaksana nilai kemelut negara

Raja-raja Melayu bijaksana nilai kemelut negara

Semua pihak diminta supaya tidak memperkecilkan keupayaan serta kesungguhan pihak Raja-raja Melayu mendalami masalah yang dihadapi oleh rakyat dan negara hari ini.

Raja-Bahrin-Shah_raja-raja_600_2

Oleh Raja Bahrin Shah

Tentang gesaan pihak yang meminta supaya “jangan heret Istana jatuhkan Najib”, saya ingin memohon pihak tersebut mengkaji Kenyataan rasmi dari dua Mesyuarat Raja Raja Melayu terakhir.

Raja-raja Melayu memang sudah prihatin kemelut yang menyelubungi negara hari ini. Mesyuarat Raja-raja pada Oktober 2015 telah meminta Kerajaan Najib menyelesailan masalah “1 MDB”.

Mesyuarat pada Februari 2016 pula meminta kerajaan Najib menghalusi undang undang “Majlis Keselamatan Negara” yang menyentuh kuasa Yang di-Pertuan Agong. Siapakah kita untuk melarang Raja -raja Melayu dari membela hak rakyat kerana Raja-raja adalah payung rakyat berlindung !.Negara menghadapi masalah yang amat besar hari ini dan tiada pihak yang bertangung jawab patut hanya berpeluk tubuh.

Saya ingin memohon semua pihak supaya tidak memperkecilkan keupayaan serta kesungguhan pihak Raja-raja Melayu mendalami masalah yang dihadapi oleh rakyat dan negara hari ini. Keprihatinan Raja-raja kita tentang kemelut negara hari ini kita patut diakui dan jangan dinafikan.

Zaman di mana memanda serta pembesar negara serta negeri hanya menyampaikan berita baik sementara keperitan rakyat dihalang daripada sampai kepada Raja-raja makin berlalu. Politik berhalangan oleh pembesar Istana makin kurang berkesan dengan pengaruh besar langit terbuka-internet yang membolehkan jalinan terus derita masalah rakyat disampaikan tanpa perantaraan kepada Raja-raja.

Anakanda Raja-raja yang mempunyai pendidikan lebih tinggi hari ini juga mempunyai peranan penting sebaran maklumat yang tepat secara terus kepada Istana.

Oleh itu, saya mohon semua pihak berkenaan jangan menyalahkan pembangkang semata-mata atas kesedaran yang kebih luas dan mendalam pihak Istana akan kemelut yang melanda negara hari ini. Ini adalah era kesedaran sihat pihak Istana di zaman langit terbuka.

Kalau benar inginkan Istana dan Raja-raja dihormati sebagai sepatutnya, sila “nasihati” kerajaan hari ini mengambil berat serta ambil kira pandangan Majlis Raja-raja pada bulan Oktober 2015 tentang isu “1 MDB” dan pada Februari 2016 tentang “MKN- Majlis Keselamatan Negara”.

Sehingga kini Kerajaan Malaysia membisu seribu bahasa serta tidak mengindahkan pandangan Raja-raja Melayu dalam isu isu tersebut. Juga di fahamkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib telah tidak menghadiri kedua dua mesyuarat terakhir Majlis Raja-raja Melayu. Adakah ini disenangi dan boleh di terima oleh Raja-raja ? Adakah ini keadaan yang boleh diterima rakyat dan negara dari segi tertib dan menghormati institusi diraja?

Saya mohon pihak berkenaan “menasihati” Perdana Menteri dan kerajaan dalam isu ini. Siapalah kami pembangkang yang serba kerkurangan dan pengaruh untuk “mengheret Istana” dalam isu negara tanpa kebijaksanaan Raja-raja Melayu sendiri menilai terus keadaan negara.

Saya sekadar memberi pandangan keadaan yang kononnya pembangkang begitu berpengaruh dan seolah olah Raja-raja Melayu tidak berkeupayaan membuat penilaian sendiri dengan segala kebijaksanaan dan kematangan Institusi tersebut.

Jangan kita begitu senang menidak kan keupayaan sebuah institusi yang menjadi Payung Rakyat terutamanya dalam era langit terbuka hari ini.

Raja Bahrin Shah ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu merangkap Pengerusi AMANAH Terengganu

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.