Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Integriti dalam pendidikan

May 27, 2016

Setelah sekian lama tidak terlibat dalam sesi pembelajaran, kebanyakan pendidik tidak pasti atau tidak tahu berapa banyak yang mereka tidak ketahui.

COMMENT

pendidik-1

Oleh Azizi Ahmad

Setiap kali kita berbincang mengenai pendidik, tentunya kita memikir mengenai’kesarjanaan’ seseorang. Bagi mereka yang bukan warga pendidik tentu sekali akan beranggapan bahawasanya jika seseorang pendidik itu berhasrat atau menjadi seorang pendidik yang berkesan, hendaknya beliau belajar berterusan.

Tentu sekali bukanlah maksudnya seseorang itu mesti mengikut landasan yang dinyatakan bagi membukti kesarjanaan beliau. Ramai daripada golongan pendidik mempunyai niat dan hasrat meningkatkan dan meninggikan darjat dan kedudukan mereka namun bukan semua mampu berbuat demikian kerana halangan masa, tenaga, kewangan dan hal berkaitan keluarga.

Anda mungkin pernah berada dalam kumpulan atau golongan pendidik di majlis perjumpaan rasmi maupun tidak rasmi dan anda tentunya akan ‘terkejut’ mendapati ramai daripada ‘pendidik’ tidak berpengetahuan dalam bidang atau topik pendidikan berkaitan. Anda mungkin berasa ‘tergamam’ dengan pengetahuan cetek mereka mengenai topik atau perkara yang sepatutnya mereka mampu mengeluarkan pendapat atau pandangan bernas.

Topik seperti pembelajaran autentik, pembelajaran berasaskan projek, vleFrog, Communities of Practices (CoPs), Professional Learning Community (PLC) dan sebagainya bagi mereka adalah sesuatu yang ‘baru’ dan akan cuba mengelak dari meneruskan perbincangan. Kebiasaannya mereka akan cepat memberi respon seperti, tiada masa untuk mengetahui lebih lanjut, ada urusan lain yang lebih penting, anak dan keluarga di rumah, tidak kompeten dalam teknologi maklumat dan komunikasi atau mungkin ‘tidak minat’ adalah respon yang kerap didengari.

Kemungkinan, ini adalah beberapa sebab mengapa pendidik didapati tidak mampu atau tidak bersama dengan ‘aliran perhubungan pendidik’.

Memang kita kerap membaca dalam media dimana golongan pendidik kerap dipersalahkan baik di peringkat tempatan dan luar negara. Memang kita tahu tahap moral pendidik adalah rendah kesan daripada ‘gangguan’ dalaman dan luaran. Namun, pendidik sendiri yang jelas tidak mahu ‘belajar’.

Pembelajaran sepanjang hayat (PSH) menjadi salah satu seruan kerajaan dalam memastikan penduduk dan rakyat memperolehi pendidikan, baik bagi anak-anak dan pendidik sendiri.

Kebanyakan institusi pendidikan turut menyenaraikan pembelajaran sepanjang hayat dalam kenyataan misi institusi, namun mengapa hanya kenyataan untuk anak-anak sahaja dan tidak kepada pendidik.

Bukankah pendidik harus juga bergelar ‘sarjana’? Bukankah pendidik harus turut meneruskan niat untuk ‘mengilmukan diri’ bagi memastikan pendidik adalah relevan sebagai ‘ahli akademik’? Bukankah menjadi tanggungjawab pendidik menyediakan dan menawarkan pendidikan terkini kepada anak-anak yang sedang belajar; dengan menggunakan kaedah terkini dalam pedagogi mereka? Bukankah pembelajaran yang disampaikan adalah berdasar kepada maklumat terkini dan penggunaan kaedah terkini dalam mendapatkan, menganalisa, memahami, mencipta dan berkomunikasi?

Pendidik tidak memperolehi sijil, diploma atau lesen mengajar dengan hanya menjana akal fikiran dan minda mereka atau sudah semulajadi terpahat didalam otak. Isu ini berkembang setiap masa. Kebanyakan pendidik tidak berkembang pada kadar yang sama. Kekal relevan bukanlah usaha pasif. Ia memerlukan tindakan , masa, dan usaha yang berterusan.

Seseorang itu hendaklah ‘belajar’ dahulu sebelum menjadi seorang pendidik. Untuk menjadi pendidik yang ‘hebat’, hendaklah anda terlebih dahulu menjadi seorang ‘pelajar yang baik’. Kita mungkin tidak mempunyai pilihan dalam apa yang telah kita pelajari.

Setelah sekian lama tidak terlibat dalam sesi pembelajaran, kebanyakan pendidik tidak pasti atau tidak tahu berapa banyak yang mereka tidak ketahui. Bagaimanakah pendidik membuat keputusan mengenai apa yang perlu mereka pelajari, jika mereka sendiri tidak menyedari akan kewujudan banyak perkara yang mereka perlu tahu?

Jika pendidik tidak sanggup keluar dari zon selesa mereka, (mengapa mereka perlu berbuat demikian), walaupun mereka tahu dengan mereka keluar dari zon selesa akan menjadikan mereka lebih baik. Pendidik perlu menentukan apa yang perlu mereka pelajari dan mempertingkatkan diri bila berpeluang. Mungkin juga ianya tidak akan berlaku.

Adalah menjadi tanggungjawab pihak berkenaan untuk menjadikan pembelajaran atau pembangunan profesional satu keutamaan. Kita memerlukan pendidik menjadi ‘orang yang berpengetahuan tanpa had.’ Ia adalah proses berterusan dan pembangunan profesional mestilah memaparkan tujuan tersebut. Ianya tidak boleh berlaku dengan usaha yang minima. Jika pengajaran hendak di jadikan berterusan, pembelajaran juga hendaklah berterusan, untuk pendidik dan anak-anak.

Dengan penggunaan teknologi terkini, pendidik boleh dihubungkan dengan maklumat, sumber dan pendidik lain untuk kekal relevan. Terdapat ramai pendidik yang membaca jurnal, buku dan menulis artikel majalah tanpa mengunakan teknologi dan kekal relevan. Kebanyakan pendidik hari ini perlu menjadi relevan dan dikaitkan melalui teknologi. Ia memerlukan masa, usaha dan komitmen. Pendidik akan sering menuntut ini daripada murid mereka, namun tidak bagi pendidik sendiri.

Memastikan program pembangunan profesional sebagai keutamaan mendidik pendidik cara dan kaedah mengajar terkini hendaklah menjadi aspek utama dalam pembaharuan pendidikan. Hipokrasi dalam pendidikan yang paling nyata ialah pendidik sendiri merupakan ‘pelajar yang lemah’ yang tidak sanggup meninggalkan zon selesa mereka untuk meningkatkan pembelajaran mereka. Mereka ini bukanlah ‘pendidik yang tidak baik’ hanya mereka merupakan mangsa amalan yang tidak sihat hasil dari sistem pendidikan yang leka. Untuk menjadi pendidik yang lebih baik , kita perlu menjadi pelajar yang lebih baik .

Azizi Ahmad adalah seorang pendidik

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments