Siapa bawa agenda perubahan, Dr M atau pembangkang?

Siapa bawa agenda perubahan, Dr M atau pembangkang?

Nurul Izzah Anwar berkatapembangkang yang menetapkan agenda perubahan, bukan Dr Mahathir.

Azmin-Mahathir
Oleh Ibrahim Sani

Mungkin Ramadan sedikit sebanyak menyebabkan kempen lemah dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar yang akan berlangsung esok. Hanya ada sedikit kata-kata hinaan dan tuduhan yang lazimnya kita lihat.

Malah di Sungai Besar, wujud semangat keakraban di antara parti-parti yang bertanding, paling ketara antara PAS dan Pakatan Harapan.

Sudah tentu, ini disebabkan kedudukan tidak selesa Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali yang perlu melayan PAS sebagai ahli pentadbirannya dan juga Amanah sebagai ahli gabungan Pakatan. Tapi nampaknya, dia dapat mengendalikan situasi itu dengan agak baik.

Sementara dia memberikan sokongan dengan berada di belakang calon Amanah, Azhar Shukor, seperti yang diharapkan daripadanya, dia juga memberi pujian kepada calon PAS, Dr Abdul Rani Osman.

Jelasnya Azmin sedang cuba menganjurkan hubungan baik antara pemain politik di negerinya, dan dia layak diberi pengiktirafan untuk itu.

Ini berbeza dengan apa yang bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad cuba bawa ke dalam kempen.

Penyertaan negarawan itu dalam kempen pembangkang mengundang lebih banyak kritikan berbanding pujian daripada ahli politik dan masyarakat.

Seorang penduduk Manong (sebuah bandar di daerah Kuala Kangsar) memberi komen yang tepat: “Kenapa Mahathir berkempen menentang BN? Bukankah dia yang letak bos BN di situ?”

Komen ringkas itu merujuk kepada tanggapan bahawa kekecohan yang Dr Mahathir fikir dicipta oleh BN sebenarnya sebahagian besar datang daripada dirinya sendiri.

Ahli politik BN juga memperkecilkan peranan Dr Mahathir dalam kempen itu.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, “Mahathir orang yang tidak penting dalam kempen itu.”

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed pula berkata “Mahathir pengkhianat parti dan bangsa.”

Tetapi mungkin komen yang meletakkan segala-galanya tentang Dr Mahathir dalam perspektif yang sempurna datang daripada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar. Katanya pembangkang yang menetapkan agenda perubahan, bukan Dr Mahathir.

Pembangkang hanya bekerja dengannya untuk mencapai program di bawah agenda itu, iaitu untuk mengubah kepimpinan tertinggi negara dan kebetulan ia menjadi agenda beliau juga kini.

Nurul Izzah menekankan, pembangkang yang menetapkan dan mengarahkan agenda perubahan, bukan Dr Mahathir.

Betul juga, ia memang masuk akal. Bagaimana kini Dr Mahathir mendesak perubahan dasar yang beliau sendiri berada di dalamnya selama hampir tiga dekad?

Maka tidak munasabah untuk beliau kata dirinya yang memulakan agenda perubahan itu. Dr Mahathir juga tidak boleh kata beliau ada bahagian dalam agenda penyusunan semula yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Dr Mahathir nyata terperangkap.

Ibrahim Sani ialah kolumnis FMT.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.