Politik Rasulullah vs budaya simplistik PAS
Bersambung dari semalam, penulis menganalisa pandangan jauh politik Rasulullah dan membuat perbandingan tajam dengan politik PAS yang akhirnya akan memakan diri.
Oleh Madah Pujangga
Sekiranya kita meneliti sejarah hijrah Rasulullah s.a.w., kita akan dapati pemikiran politik baginda jauh lebih canggih dan proaktif.
Baginda tidak dikekang oleh congak jumlah pengikut yang simplistik. Sebaliknya, kejayaan Rasulullah s.a.w. adalah kerana kematangannya menghadapi realiti semasa.
Ketika baginda berhijrah ke Madinah, orang Islam di Madinah merupakan golongan minoriti. Masih terdapat ramai penduduk Madinah yang tidak memeluk Islam. Ini termasuklah golongan yang masih menyembah berhala, penganut agama Kristian dan suku-suku Yahudi.
Baginda tidak menjadikan statusnya sebagai minoriti sebagai kekangan. Sebaliknya, baginda menumpukan usaha mewujudkan satu gagasan untuk menyatukan semua kelompok di bawah pemerintahannya. Ini baginda lakukan dengan memahami golongan lain dan mewujudkan satu piagam yang melahirkan suasana kebersamaan. Ini memupuk satu “sense of common destiny” di kalangan seluruh masyarakat Madinah.
Strategi politik ini berkesan kerana baginda mempunyai kredibiliti, berwawasan dan memahami keperluan bertindak bijak dalam masyarakat majmuk Madinah. Bagi mereka yang tiada kredibiliti dan ketandusan idea, pemikiran mereka hanya setakat mencongak sama ada mereka majoriti atau minoriti.
Tidak dinafikan kesatuan di Madinah tergugat apabila ada di antara suku Yahudi yang mengkhianati perjanjian yang dicapai dan menyebelahi pihak musuh. Namun, ini adalah “exception” dan bukan norma di Madinah.
Ketika perang Khandaq, penduduk bukan Islam Madinah turut berperang di sisi tentera Islam mempertahankan Madinah. Malahan, perang Ahzab merupakan peperangan di antara dua pakatan. Satu adalah barisan yang dipimpin oleh golongan Quraish Makkah dan disertai suku-suku yang bersekutu dengannya. Satu lagi ialah pakatan yang dipimpin Rasulullah s.a.w. yang mempertahankan Madinah.
Selari dengan risalah “rahmatan lil alamin”, Rasulullah s.a.w. meletakkan dirinya sebagai penyatu semua golongan dari berbagai bangsa dan agama yang terdapat di Semenanjung Arab ketika itu. Inilah sebabnya masyarakat Madinah menjadi sebuah masyarakat majmuk yang begitu berjaya dan dinamik.
Baginda melihat jauh ke hadapan dan memahami kerelevanan Islam bergantung kepada menjadikan Islam relevan kepada ummat Islam dan juga golongan bukan Islam.
Baginda bukan pejuang “satu agenda” untuk satu bangsa tetapi benar-benar membawa Islam kepada seluruh alam.
Selain membina gagasan menyatukan Madinah, strategi yang digunakan Rasulullah s.a.w. ialah mencari peluang memecahkan barisan yang dipimpin Quraish. Ini dilakukan baginda melalui perjanjian Hudaybiyah yang memberi kebebasan kepada pihak Islam untuk menyampaikan dakwah Islam kepada suku-suku lain di Semenanjung Arab.
Sebelum Hudaybiah, Rasulullah s.a.w. menghadapi kesukaran menyampaikan dakwah baginda kepada suku-suku lain kerana kesetiaan mereka kepada Quraish di Makkah.
Hanyut dalam hedonisme Umno
Sekiranya kita ingin mengambil pengajaran dari sejarah Rasulullah s.a.w., nyata sekali di sini pencapaian politik umat tidak akan terjamin dengan sekadar congak yang simplistik. Pemerintahan majoriti Islam yang tiada arah, wawasan dan daya tarikan kepada semua golongan di Malaysia tidak akan ke mana.
PAS mungkin akan berjaya mempertahankan pemerintahan majoriti Islam tetapi ia akan hanyut dengan budaya hedonistik Umno.
Datuk Husam Musa pernah mendesak supaya PAS menjelaskan mengenai pembabitan pemimpin-pemimpinnya dalam kontrak perniagaan. Namun desakannya tidak dihiraukan dan kepimpinan PAS hanya membisu.
Mungkin semua ini tidak benar dan hanya sekadar khabar angin. Mungkin ini sebabnya kepimpinan PAS mendiamkan diri. Bukan kerana terkedu tetapi kerana memang tiada apa yang perlu dijawab. Hanya Allah yang mengetahui.
Rasulullah s.a.w. berusaha memecahkan barisan di kalangan suku-suku Arab sebagai strateginya untuk menewaskan Quraish. Di Malaysia, yang sebaliknya berlaku.
PAS berpecah dari Pakatan Rakyat tanpa mendapat manfaat politik. Sebaliknya ia akan mengukuhkan lagi barisan yang dipimpin Umno.
Walau bagaimana PAS bermanja dengan Umno, tidak mungkin ia akan dipelawa menyertai BN. Ini kerana keanggotaan dalam BN diputuskan secara sepakat oleh semua anggota komponen yang sedia ada. Akhirnya, PAS akan jadi ibarat orang dilamuni anggau yang tidak kesampaian hasratnya. Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran.
Nilai PAS kepada Umno
Ada pemimpin PAS yang menyatakan perlunya PAS menubuhkan pakatan ketiga dengan parti Ikatan. Apakah nilainya PAS berpakat dengan sebuah parti yang tidak mempunyai jentera, yang mempunyai sedikit ahli, tidak mempunyai pemimpin yang boleh diterima masyarakat dan tidak pun membantu PAS berkempen di Sg Besar dan Kuala Kangsar?
Pada Umno, PAS hanya mempunyai dua nilai. Pertama ialah memecahkan Pakatan Rakyat. Ini sudah pun berlaku dan dividennya sudah pun diperolehi di Sg Besar dan Kuala Kangsar.
Kedua, BN berharap untuk melakukan persempadanan semula kawasan Parlimen. Ini akan dilakukan supaya kawasan Parlimen di mana BN kuat akan diperbanyakkan dan kawasan di mana Pakatan Harapan kuat dikurangkan. Namun, sebarang persempadanan semula memerlukan sokongan dari dua pertiga Parlimen dan BN tidak menguasai dua pertiga Parlimen.
Namun, ini boleh diubah jika PAS dapat dipujuk untuk menyokong persempadanan semula. Umno boleh menawarkan untuk membiarkan Kelantan kekal di bawah PAS dan mungkin juga menyerahkan Terengganu kepadanya.
Umno tahu, kerajaan PAS tidak akan dapat bertahan lebih daripada satu penggal. Prestasi kerajaan PAS di Terengganu selepas PRU 1999 adalah hambar dan watak yang sama juga akan memimpin Terengganu kali ini. Rakyat akan menolak PAS selepas itu dan Terengganu akan kembali kepada Umno selepas satu penggal.
Sebagai balasan, Umno berharap dapat menawan semula Selangor dan Pulau Pinang. Dengan ini PAS akan memerintah negeri termiskin dan Umno akan mendapat semula negeri terkaya. Pakatan Harapan akan semakin lemah selepas itu. Rasuah akan semakin berleluasa, budaya hedonistik Umno semakin mencengkam, ketidakadilan semakin merebak dan rakyat terus teraniaya.
Tetapi ini semua tidak mengapa bagi PAS asalkan pemerintah adalah majoriti Islam.
Madah Pujangga merupakan nama pena seorang pembaca FMT.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT