Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Kurikulum dan pentaksiran perlu seiring

July 11, 2016

Kini ramai ibu bapa melibatkan diri memastikan kerja rumah yang dibawa balik dari sekolah disemak sendiri oleh mereka.

KOMEN

sesi-pembelajaran

Oleh Azizi Ahmad

Ibu bapa, pendidik dan komuniti Malaysia sudah banyak kali menyuarakan pandangan dan pendapat masing-masing mengenai perkembangan pendidikan daripada peringkat awal kanak-kanak sehinggalah ke universiti.

Ramai menyuarakan sistem pendidikan sedia ada tidak dilaksanakan dan dijalankan dengan betul, telus, selaras dan sempurna. Dalam erti kata lain terdapat banyak kelemahan dan kekurangan yang melibatkan tenaga, usaha, masa dan kos.

Namun semuanya disangkal pihak atasan pendidikan dengan mengeluarkan kenyataan tahap pendidikan negara adalah antara terbaik dan terhebat di dunia bahkan ada negara lain mengakui dan menjadikan sistem pendidikan negara sebagai model untuk digunakan di negara mereka.

Para ibu bapa, pendidik dan guru turut menyoal jika apa yang dikatakan sebagai salah satu sistem pendidikan terbaik di dunia mengapakah cadangan menyusun semula silibus persekolahan pendidikan rendah dan menengah akan dijalankan tahun depan.

Sekiranya sistem pendidikan asas tidak dirancang dan dilaksanakan dengan baik dan telus, tidak ada gunanya penyusunan semula sukatan pelajaran yang akan memberi manfaat kepada sesiapa saja.

Bahkan, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia Hashim Adnan pernah mengatakan ‘cadangan penyusunan semula silibus adalah bencana kerana cadangan perubahan yang ingin dilaksanakan tersebut adalah keterlaluan’.

Kini ramai ibu bapa di negara ini melibatkan diri secara tidak langsung dengan memastikan kerja rumah yang dibawa balik dari sekolah disemak sendiri oleh mereka.

Kebiasaannya ibu bapa akan menyemak kerja rumah anak masing-masing selepas makan malam. Ini kemajuan yang memberangsangkan dan transformasi dalam sistem pendidikan.

Ketika ini, ibu bapa akan melihat kerja rumah anak dan akan turut membantu memahami dan membuat kerja diberikan, yang biasanya dalam bentuk lembaran kerja, (dan ada secara online) sambil melihat modul disediakan.

Tidak dinafikan ia melibatkan ibu bapa berkemampuan namun bagi yang tidak mampu untuk menyediakan kemudahan Internet tentu sekali usaha ini tidak akan menampakkan kesan.

Persoalannya, mengapa kerja dan usaha tambahan diperlukan di sini? Adakah kurikulum dan silibus mahukannya begitu? Dan tentunya bukan semua daripada 400,000 hingga 500,000 bilangan ibu bapa yang gembira dengan apa berlaku.

Pelaksanaan kaedah ini dikatakan sudah pun dimulakan dan meningkat mengikut peringkat umur persekolahan melalui kurikulum yang disediakan.

Namun semua ini menjadi semakin kontroversi, terutama apabila keputusan skor ujian atau keputusan pentaksiran kebangsaan dikeluarkan.

Di atas kertas dilaporkan keputusan memberangsangkan, namun hakikatnya menyedihkan.

“Mana-mana proses perubahan pastinya datang dengan cabaran, dan jika setiap tahun kita menunggu untuk melaksanakannya, maka kita akan kerugian setahun lagi.”

Komen ini sering didengar daripada pihak atasan pendidikan.

Salah satu isu utama dalam cadangan pelaksanaan ialah tempoh masa, kerana kebiasaannya pelaksanaan kurikulum dimaklumkan kepada kumpulan guru dan pendidik dalam tempoh masa yang singkat, latihan dan pendedahan atau penataran yang kurang bermakna menyebabkan kekecewaan tambahan.

Arahan sering dikeluarkan tanpa latihan dan pendedahan sempurna diberikan. Kebiasaannya para pendidik yang terpilih akan diarahkan menghadiri taklimat pendedahan atau penataran, diberikan beberapa salinan modul untuk dibuat salinan dan diedarkan pula kepada pendidik terpilih di peringkat sekolah masing-masing.
Pejabat Pendidikan Daerah mungkin akan mengarahkan pihak sekolah cuba menyesuaikan apa yang Jabatan Pendidikan Negeri berikan, dan dalam masa singkat guru hendaklah melaksanakan tanpa pilihan selain menyesuaikan diri dengan apa yang diberi dan diarahkan.

Latihan, pendedahan serta modul yang diberikan juga dikatakan hanya sekadar untuk pengetahuan dasar saja. Latihan lanjutan tidak dijalankan kerana tidak cukup peruntukan kewangan, masa, tenaga dan kepakaran.

Oleh kerana silibus dan kurikulum yang diperkenalkan adalah baru sering kali juga tiada buku rujukan atau buku teks mencukupi disediakan.

Kalau ada pun hanya modul dan lembaran kerja, dan kebiasaannya kementerian/jabatan akan menyediakan dan berkongsi video atau modul elektronik sebagai alternatif dan mereka juga memberikan alasan untuk menjimatkan masa, tenaga dan kos.

Jika alasan ini turut diberikan jelaslah keadaan seperti ‘cakap tak serupa bikin‘.

Dari sudut perundangan, tidaklah dipastikan sama ada usaha ini perlu dibentangkan dan didebatkan di Parlimen kerana ia turut melibatkan peruntukan kewangan kerajaan.

Untuk pentaksiran menjadi berkualiti tinggi dan relevan, dan memaklumkan penambahbaikan sebenar kepada hasil keseluruhan sistem pendidikan, ia perlu berfungsi dalam suasana penuh harmoni.

Dengan sistem kurikulum sedia, sistem dan sokongan latihan guru yang mantap dan teratur, teks dan bahan mencukupi, perancangan, belanjawan dan kerjasama bersepadu dengan jabatan lain yang berkaitan.

Dan tidaklah perlu kita bergantung kepada ‘air ajaib’ untuk menyelesaikan kekusutan yang sedia ada.

Azizi Ahmad ialah seorang pendidik.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments