Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

‘Pekak’ filem advokasi?

September 10, 2016

Pekak tidak memberikan solusi ke mana kita mahu membawa masyarakat tetapi sekadar menelanjangkan realiti yang terpaksa kita lalui sehari-hari dan dipaksa redha untuk menerima.

KOMEN

filem Pekak

Oleh Amalina Ismail

Mengenai filem Pekak, ada satu sisi penting dalam pembikinan filem sebagai satu medium advokasi. Ya, karya seni boleh jadi satu medium ekspresi masyarakat untuk mendidik masyarakat lainnya mahupun pemerintah.

Baru-baru ini, ketika negara digemparkan dengan khabar angin pencabulan terhadap pelajar-pelajar lelaki dari sebuah sekolah tahfiz, sebuah filem dari Korea Selatan bertajuk Silenced yang menayangkan kisah benar pencabulan kanak-kanak di sebuah institusi pendidikan di negara tersebut menjadi bualan netizen sebagai sebuah filem yang mengangkat realiti sisi hitam yang cuba ditutup ramai pihak.

Dan pastinya adegan-adegan yang memualkan aksi pencabulan dan penderaan terhadap kanak-kanak dilakonkan seakan nyata membuatkan emosi penonton seperti saya sangat-sangat terganggu.

Pertama, terganggu dengan adegan itu yang realitinya memang pernah berlaku kerana kisah ini adalah benar. Kedua, terganggu membayangkan bagaimana pelakon kanak-kanak itu perlu menghayati dan melakukan sendiri babak-babak yang menjijikkan itu.

Barangkali itulah dilema dalam pembikinan filem. Persimpangan antara prinsip moral yang mahu di angkat dan maruah yang perlu dipertaruhkan. Untuk bercerita soal pelacur, seorang pelakon perlu berlakon jadi pelacur dengan pakaian dan perwatakan pelacur. Untuk bercerita soal pemerkosaan, seorang pelakon perlu berlakon jadi perogol dan seorang lagi pula menghayati watak diperkosa.

Namun, kesan dan impak advokasi filem itu masih jadi persoalan. Dalam ghairah mahu menonjolkan hakikat dan realiti sebenar dengan mempertaruhkan nilai-nilai tradisi dan agama, kita masih tertanya-tanya sejauh mana filem seperti itu berjaya mengubah dunia, persepsi masyarakat dan lain-lain impak positif yang kita mahukan. Atau sekadar hiburan semasa menonton, dan bila keluar panggung kita kembali pada kehidupan biasa-biasa tanpa melakukan apa-apa.

Filem cetus kontroversi

Silenced adalah filem yang dikeluarkan tahun 2011 berikutan satu kes kontroversi pencabulan kanak-kanak yang didedahkan pada tahun 2005. Pihak-pihak yang bertanggungjawap tidak dihukum seadilnya kerana berselindung di sebalik topeng amal jariah yang dilakukan. Dan filem ini dikeluarkan menjadi satu tindakan advokasi yang menyebabkan Presiden Korea Selatan pada ketika itu menggesa fail kes itu dibuka semula dan penjenayah yang masih bebas dijatuhkan hukuman yang sewajarnya.

Malah, bukan sahaja penjenayah tersebut dihukum, undang-undang yang menghadkan pendakwaan terhadap kes pencabulan bawah umur hanya boleh dilakukan dalam tempoh tertentu turut dirombak menjadikan kes pencabulan yang melibatkan mangsa bawah umur dapat terus dibawa ke muka pengadilan walau selama mana kes tersebut berlaku.

Jika Pekak mampu mendidik pemerintah dan masyarakat untuk bertindak memerangi dadah dengan lebih berkesan, atau mendidik anak-anak dan ibu bapa kepada kesan bahaya pengaruh kawan-kawan yang tidak bertanggungjawab. *Atau menyedarkan kerajaan peruntukan rawatan perubatan untuk mereka yang memerlukan lebih utama dari belanjawan besar membina ‘taman baru’ di tengah kota raya*. Ya, saya kira tidak ada salahnya dengan Pekak.

Tapi yang kami bimbangkan Pekak adalah satu lagi cerita kesan normalisasi. Suatu budaya yang sudah diangkat ke layar perak dan ditonton oleh segenap masyarakat lalu menjadi kebiasaan. Ada sesetengah masyarakat yang akan menonton dan berkata, ‘Ah, ini memang biasa.’

Ya, barangkali memang kisah dalam Pekak bagi sekelompok masyarakat adalah sesuatu yang biasa kerana mereka sudah mendepani dan bergelumang dengannya. Ataupun mungkin mereka sudah dengar-dengar tentangnya dan bila menonton di dalam filem, ia bukan lagi satu kejutan.

Dimana solusi Pekak?

Pekak tidak memberikan solusi ke mana kita mahu membawa masyarakat kita. Bagi saya sebuah filem advokasi adalah filem yang menunjukkan permasalahan dan memberikan penyelesaian.

Seperti Silenced, hampir separuh jalan cerita filem itu adalah babak perbicaraan mahkamah yang menunjukkan *pihak tertindas mesti berani keluar dari penindasan dan berusaha mencapai keadilan*. Walau realitinya keadilan itu masih samar.

Dan Silenced yang diangkat dari sebuah novel yang ditulis oleh penulis feminis Gong Ji Young yang menulis novel dengan tajuk yang sama berdasarkan kisah benar itu adalah penulis prolifik yang gigih menghasilkan karya yang mengangkat nilai-nilai hak asasi kemanusiaan di dalam novelnya.

Ya, beliau seorang aktivis kemanusiaan yang konsisten memperjuangkan nasib masyarakat tertindas melalui penghasilan karya novel mahupun filem seperti Silenced. Maka impak Silenced adalah sangat luar biasa.

Kembali ke tanah air, pembikin filem mahupun karya seni perlu mempunyai kesedaran ini. Bukan sekadar menelanjangkan realiti tapi tampil memberi solusi. Kerisauan kami, realiti yang ditonjolkan hanya sekadar realiti yang terpaksa kita lalui sehari-hari dan masyarakat dipaksa redha untuk menerima.

Seperti Dara yang hanya mampu menerima nasibnya diperkosa akibat silap memilih rakan dan Uda yang hanya mampu kesal dengan nasibnya yang perlu menjual najis dadah demi menyembuhkan kecacatan anggota yang dideritai.

*Kita mahu watak yang bangkit melawan. Berjuang untuk hidup bermaruah dalam kelamnya nasib yang menyelubungi. Kita perlukan filem advokasi yang membina jiwa dan akal untuk menjadi warga yang tidak terus tertindas.*

Supaya akhirnya, masyarakat kita tidak hanya menjadi mereka yang tunduk dan redha dengan nasib yang diterima. Dan babak-babak dalam Pekak adalah satu kejutan yang asing dan tidak perlukan. Seperti yang dilakukan kerajaan Brunei kerana di negara itu, kisah-kisah seperti ini adalah seperti sesuatu yang aneh untuk dipaparkan kepada warganya.

Akhirnya, bagi kami yang bergelumang dengan sisi hitam masyarakat, berdepan dengan gadis-gadis remaja yang hamil luar nikah, kami tidak perlukan lagi filem yang sekadar menampilkan sisi realiti kebejatan sosial yang sudah bertahun-tahun ditanggung masyarakat.

Apa yang kami perlukan ialah solusi kreatif untuk memerdekakan masyarakat dalam kemelut yang mencengkam ini.

Amalina Ismail ialah aktivis Angkatan Belia Islam Malaysia

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments