Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Malaysia tak perlu mengemis pelaburan China

January 24, 2017

China memerlukan Malaysia lebih daripada kita memerlukan China. Hubungan ini boleh menjadi salah satu kerjasama saling menguntungkan dan bukan berat sebelah seperti sekarang.

KOMEN

liew-chin-tong3

Oleh Liew Chin Tong

Pelaburan dari China kini menjadi subjek perdebatan hangat selepas entiti milik negara China menyelamatkan 1MDB, dan ketika tawaran perdagangan mega diumumkan semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke China pada November 2016.

Secara amnya, kita mengalu-alukan pelaburan China, sama seperti kita mengalu-alukan pelaburan dari negara lain selagi sejajar dengan kepentingan negara. Sudah tentu, pengertian kepentingan negara itu perlu diperbahaskan lagi.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, percubaan dibuat untuk menggambarkan kerajaan Umno-Barisan Nasional sebagai pihak yang “pro-pelaburan”, dengan MCA bertindak seolah-olah sebagai ejen China Inc, manakala pembangkang dikecam sebagai anti-pelaburan China.

Hakikatnya, bukan itu perbezaan yang sebenarnya. Sementara kerajaan Umno-BN sedia menerima apa sahaja pelaburan dari China, pembangkang menggesa agar berhati-hati dan menekankan keperluan untuk bersikap memilih dalam tawaran ini.

Mereka yang mempertahankan penerimaan pelaburan China secara borong, pukal dan pukul rata ini berhujah Malaysia sebenarnya tiada banyak pilihan jika mahukan dana China untuk merangsang semula ekonomi yang lembap dan perlahan kini.

Tetapi, dengan bersikap leka dalam meneliti pelaburan asing, biar daripada mana sekalipun sumbernya, merupakan pengabaian tugas oleh kerajaan.

Adalah salah untuk mengamalkan sikap tidak boleh terlalu memilih hanya kerana ekonomi China jauh lebih besar dan berkembang, sementara Malaysia adalah lemah. Malah, saya berhujah China memerlukan Malaysia lebih daripada Malaysia memerlukan China.

Sudah menjadi pengetahuan umum Beijing memerlukan penyertaan negara kita dalam rangka mewujudkan Belt and Road Initiative (Inisiatif Lingkaran dan Laluan). Masalah kita sebagai sebuah negara kini adalah Perdana Menteri Najib memerlukan China untuk menyelamatkan dirinya dari kegagalan beliau, terutama 1MDB.

Inisiatif Lingkaran dan Laluan yang dicadangkan Presiden Xi Jinping pada September dan Oktober 2013, termasuk “Laluan Sutera Lingkaran Ekonomi” yang meliputi kebanyakannya negara Asia Tengah, dan “Laluan Sutera Maritim Abad ke-21” yang umumnya merangkumi Asia Tenggara.

Ia merupakan satu strategi agung cemerlang yang menggabungkan penjajaran semula geopolitik dengan realiti ekonomi, dan bertujuan menonjolkan kuasa China ke arah luar melalui pembinaan infrastruktur, yang seterusnya membantu China untuk melupuskan kapasiti berlebihan. China adalah peneraju yang terbukti dalam membina infrastruktur pada kos agak rendah.

Walaupun kebanyakan negara membangun di rantau ini di bawah Inisiatif Lingkaran dan Laluan memerlukan pembaharuan infrastruktur, bagaimanapun sukar bagi China mendapat semua projek tersebut.

Salah satu cabaran China kini apabila pentadbiran Donald Trump mula bergerak untuk menyelaraskan semula hubungan dengan Rusia.

Pada era Barack Obama, China sebagai kuasa besar yang baru muncul, bekerja rapat dengan kuasa besar Rusia untuk melancarkan cabaran terhadap Amerika Syarikat. Prospek pakatan AS-Rusia mengancam kemampanan sebahagian “Lingkaran” dalam inisiatif tersebut.

Di samping itu, Beijing perlu berurusan dengan rantau Asia Timur Laut yang tidak selalu mesra dengan China.

Maka yang tinggal hanya Asia Tenggara. Di sinilah China mungkin boleh mencapai keuntungan strategik dan ekonominya. Oleh itu, negara seperti Laos dan Kemboja, serta untuk tahap tertentu, Myanmar bergantung kepada China untuk perdagangan dan pelaburan, sama ada dengan atau tanpa Belt and Road Initiative.

Jika terdapat sebarang keuntungan baru yang akan dibuat untuk unjuran dasar baru China, ia perlu datang dari negara Asia Tenggara yang lebih besar dan lebih maju seperti Indonesia, Malaysia dan Thailand.

Memandangkan projek keretapi baru-baru ini di Indonesia dan Thailand mengalami masalah dan kelewatan, jika ini adalah tanda batasan keupayaan China di negara-negara ini, maka Malaysia boleh menjadi budak poster baru untuk China menjual visi besarnya itu.

Pendek kata, China memerlukan Malaysia lebih daripada kita memerlukan China. Sekurang-kurangnya, Malaysia tidak perlu mengemis pelaburan dari China. Hubungan ini boleh menjadi salah satu kerjasama yang saling menguntungkan dan bukan berat sebelah seperti sekarang.

Tetapi, disebabkan kelemahan politik Najib, Malaysia seolah-olah melelong aset strategik negara kepada China dan bersetuju dengan projek-projek yang faedahnya tidak jelas kepada negara.

Ia diakui tidak mudah untuk menentukan kepentingan negara dalam konteks sebegini, tetapi terdapat 5 elemen pelaburan asing yang kita perlu tolak, tidak kira dari mana datangnya sekalipun.

Pertama, pelaburan tidak boleh mengandungi unsur rasuah atau tanda tawaran pintu belakang yang akan membebankan bergenerasi pembayar cukai. Sebagai contoh, penolakan terhadap Landasan Keretapi Pantai Timur kerana sudah dianugerahkan tanpa tender terbuka dengan kos terlalu tinggi, dan terdapat RM9 bilion jurang antara angka yang diumumkan kontraktor (RM9 bilion) dengan kerajaan.

Ke-2, mesti tidak ada penjualan aset strategik negara. Sekali lagi, adalah sukar untuk menentukan apakah aset strategik dan apa yang tidak, tetapi menjual loji penjanaan kuasa dan pelabuhan sangat membimbangkan.

Malaysia merupakan sebuah negara maritim yang terletak di salah satu laluan terpenting dunia – Selat Melaka – dan di salah sebuah kawasan paling kontroversi – Laut China Selatan.

Kini, seolah-olah hampir semua pelabuhan Semenanjung, dari Kuantan ke Melaka dan Klang serta spekulasi terkini, hingga ke Pulau Pinang, akan melibatkan beberapa bentuk pelaburan China. Mana-mana pemilikan asing ke atas pelabuhan bermasalah, sama ada dari China atau pihak lain.

Kenyataan hampir semua pelabuhan di Semenanjung dimiliki satu kuasa besar sudah tentu menimbulkan ketidakselesaan.

Ke-3, kita mesti menolak pelaburan tidak menggunakan bahan tempatan. Secara ekonominya, tidak masuk akal untuk mengimport sepenuhnya bahan asing untuk projek besar kerana ini hanya akan memburukkan lagi imbangan pembayaran dan meminggirkan perusahaan tempatan.

Ke-4, pelaburan asing mesti merangsang pekerjaan tempatan. Dikhuatiri beberapa projek melibatkan pelaburan China menjana hampir sifar pekerjaan domestik, dan ini tidak membawa apa-apa faedah kepada rakyat Malaysia.

Ke-5, Malaysia sudah mempunyai terlalu banyak pemaju tempatan, oleh itu tidak memerlukan pemaju hartanah asing. Sifat pembangunan hartanah adalah spekulatif dan pelaburan dalam sektor ini tidak mengembangkan aktiviti ekonomi dalam jangka panjang.

Apa yang Malaysia perlukan dari China adalah pelaburan memindahkan teknologi dan kemahiran. China adalah peneraju teknologi dalam pelbagai bidang yang Malaysia mampu teladani dengan baik.

China sudah pasti peneraju dalam pembinaan infrastruktur, oleh itu ia dapat menawarkan kemahiran yang rakyat Malaysia perlukan. Ini boleh dilakukan tanpa melibatkan tawaran rasuah dan pintu belakang.

Apa juga bentuk pelaburan asing, kerajaan bertanggungjawab memastikan pekerja tempatan ditawarkan pekerjaan lebih baik dan industri tempatan mendapat manfaat daripada pasaran yang diperluaskan serta peningkatan teknologi, di samping belajar daripada rakan kongsi asing mereka.

Ringkasnya, pelaburan dari China tidak menjadi masalah “per se”, tetapi pelaburan yang bertentangan dengan kepentingan negara yang sebenarnya kita tentang.

Liew Chin Tong adalah pengarah pendidikan politik kebangsaan DAP dan ahli Parlimen Kluang.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments