
Puak konservatif selalunya negatif terhadap sesuatu pandangan mengenai Islam yang dianggap “lain”, seperti dapat dilihat dalam reaksi terhadap Siti Kasim dalam isu “Tuhan melalui getaran” baru-baru ini.
Tidak lama dulu, satu lagi pandangan berkaitan Islam pernah diutarakan aktivis Haris Ibrahim – yang berkata walaupun dia tidak mengetahui bahasa Arab, dia lebih memahami Islam!
“Kalau tahu bahasa Arab, boleh faham Islam”, “Walaupun tak tahu, boleh faham Islam”. Tetapi ia bukan semudah itu.
Ketika mempelajari bahasa Arab pada umur awal 20-an, saya mendapati yang terlalu banyak dalam terjemahan Al-Quran yang sebenarnya menyelitkan perkataan yang tiada dalam ayat asal Arab.
Terjemahan secara lafaziyah (iaitu verbatim atau kata per kata) dapat menyerlahkan perkataan selitan ini.
Saya tidak dapat merasai pembacaan Al-Quran yang optimum kerana terdapat satu “layer” memisahkan di antara saya dan teks, iaitu terjemahan. Walaupun maksud dapat disampaikan, alunannya tidak dapat. Dengan mempelajari bahasa Arab, kita dapat akses kepada alunan dan maksud (walaupun maksudnya belum mendalam lagi).
Jadi perlukah kita mempelajari bahasa Arab?
Ia bergantung kepada sasaran kita. Pada saya, memang baik jika umat Islam mempunyai lingua franca sendiri, iaitu bahasa yang menyatukan sesuatu kaum dan memelihara warisan kebudayaannya.
Pendidikan Islam di Malaysia, walaupun komprehensif, tidak merangkumi bahasa Arab. Ini menghairankan kerana sesorang pelajar akan tahu zakat yang perlu dibayar jika dia ada 40 ekor kambing, tetapi tidak akan tahu apa maksud ayat “akbaru shahadah” (Surah Al-An’aam, 19 yang memberitahu tujuan utama Al-Quran sendiri!) walaupun dia dapat membacakan ayat itu dengan taranum!
Jika kita mahu mempelajari bahasa Arab hanya untuk memahami konsep Islam secara am, sebenarnya tak perlu. Kedua bahasa yang lazimnya dipakai oleh Melayu Islam ialah bahasa Melayu dan Inggeris, dan ia sudah cukup untuk tujuan itu.
Dewasa ini, kitab dalam bahasa Melayu pun sudah banyak. Lebih daripada itu, banyak mempunyai teks bahasa Arab dan terjemahannya dalam bahasa Melayu yang selari, jadi sambil kita mempelajari Islam, kita juga dapat mengutip kalimah dalam bahasa asalnya.
Jika kedua bahasa ini pun tidak mencukupi, kita juga ada bahasa ketiga iaitu bahasa Indonesia.
Jiran kita sebenarnya amatlah maju dalam bidang pengajian Islam. Mereka menterjemah bukan sahaja teks klasik tetapi juga teks moden karangan pemikir pelbagai aliran.
Pemikiran Islam mereka lebih canggih dan di kalangan akademik Islam di Barat, mereka banyak dianggap sebagai lebih maju daripada negara Arab.
Kita tidak dapat menafikan yang dalam proses penterjemahan ada maksud yang akan hilang, atau “lost in translation”. Kehilangan ini mungkin bukan berpunca daripada penterjemah yang sengaja mahu mengubah maksud teks tetapi kerana perbezaan di antara kedua bahasa itu sendiri.
Perlu diingat, bahasa Arab adalah bahasa yang amat kaya dengan maksud. Sesebuah perkataan boleh mempunyai 20 maksud dan maksud-maksud ini boleh bercanggah juga.
Untuk mengetahui maksud sebenar, penterjemah perlu arif dengan penulisan yang lain oleh penulis teks asal. Dalam contoh penulisan Arab, dia perlu mengetahui budaya Arab pada zaman tersebut.
Sebagai orang Melayu Islam, kita sebenarnya akan terperangkap dalam posisi “outside in” (iaitu orang luar yang melihat masuk ke dalam).
Susah untuk kita mendapat tahap penguasaan bahasa seperti mana orang Arab sendiri. Namun begitu, kita perlu memahami yang bahasa Arab itu bukan satu entiti sahaja tetapi banyak entiti yang bercantum melalui asal-usul yang sama.
Contohnya, bahasa Al-Quran. Jika kita bertanya kepada orang Arab yang tahap pendidikannya tidak begitu tinggi atau buta huruf sekalipun tentang maksud sesuatu ayat, mereka lazimnya boleh menterjemah ayat itu secara literal.
Ini kerana bahasa Arab klasik mempunyai perkataan yang dibawa kepada penggunaan bahasa Arab moden.
Namun begitu, ada ayat Al-Quran yang maksudnya mempunyai ikhtilaf yang amat mendalam. Contohnya, ayat 103 Surah Al-Ma’idah mempunyai nama-nama yang tidak diketahui dengan yakin. Sehingga sekarang, masih ada pendebatan tentang maksud nama-nama tersebut!
Bahasa Arab, seperti bahasa lain, juga melalui pengaruh dan ciptaan manusia. Ia ada kelebihan dan juga ada permasalahan. Melayu-Islam perlu mempelajari bahasa Arab jika mampu, tetapi jangan melupai hakikat ini.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.