Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

‘Tuhan Hannah Yeoh’: Iman umat Islam tak senipis kulit bawang

May 18, 2017

Jika iman seseorang itu boleh digugat sebegitu senang oleh sebuah buku biografi, maka masalah keteguhan iman seseorang itu terletak pada dirinya sendiri, bukannya tanggungjawab Hannah Yeoh.

KOMEN

tuhan-hannah-yeohOleh Jamaliah Jamaluddin

Pada bulan lepas, saya telah membeli sebuah buku bertajuk “Becoming Hannah” apabila berpeluang untuk menemuramah Hannah Yeoh sebagai tetamu khas bagi program “Helo Roket”. Helo Roket merupakan sebuah program temu bual DAP bersama pemimpin politik bagi membincangkan isu-isu semasa Malaysia.

Pada mulanya, membaca buku tersebut boleh dikatakan sebagai “homework” saya, kerana telah menjadi kebiasaan saya untuk membuat sedikit kaji selidik mengenai tetamu khas Helo Roket sebelum menemuramah mereka pada setiap episod. Tetapi tidak lama kemudian, “homework” tersebut telah menjadi biografi kegemaran saya.

Tidak dinafikan, buku Hannah Yeoh memang menarik untuk dibaca dan berjaya menyentuh hati saya. Buku beliau telah menjadi sumber inspirasi buat saya, kerana saya juga seorang yang masih baru dalam perjuangan politik, dan buku tersebut telah membantu memberikan ilham dan kekuatan pada diri saya, apabila isi kandungannya menceritakan perjalanan seorang rakyat Malaysia dalam mengorbankan dirinya demi melakukan sesuatu untuk tanah airnya.

Saya merasa begitu terkait dan terharu, kerana saya juga terpanggil untuk menyumbangkan sesuatu untuk tanah air ini. Saya mahu bangkit berjuang seperti beliau untuk memastikan tiada kekesalan dalam diri saya di kemudian hari, apabila tidak melakukan apa-apa untuk menyelamatkan negara kami daripada kleptokrasi.

Namun, isi kandungan buku ini jauh sekali daripada mampu mencabar atau mengugat keimanan diri saya terhadap Tuhan saya, Allah.

Keimanan saya tidak akan tercabar hanya kerana kisah pengalaman Hannah Yeoh di dalam buku biografinya. Pada saya, ianya terletak di tangan Tuhan, bagaimana Tuhan hendak menunjukkan jalannya kepada umat yang lain, walaupun umat itu bukanlah seseorang yang beragama Islam.

Itu adalah keputusan takdir daripada-Nya dan bukanlah hak saya ataupun sesiapa yang lain untuk menghukum ataupun menilai takdir tersebut. Namun, tidak kiralah apa jua takdir Hannah Yeoh, pengalaman beliau tidak mewakili pengalaman umat di seluruh alam dan tentu sekali tidak akan menjejaskan kepercayaan saya terhadap agama saya.

Jujur saya katakan, saya merasakan begitu terkesan sebagai seorang umat Islam, apabila Kamarul Zaman Yusoff mengatakan buku biografi Hannah Yeoh itu mampu mencabar keimanan dan ketakwaan saya. Kenyataan Kamarul Zaman menggambarkan seolah-olah begitu tipisnya keimanan umat Islam di Malaysia, dan begitu senang iman itu boleh dimusnahkan, hanya dengan sebuah buku biografi yang ditulis seorang ahli politik.

Pada saya, jika iman seseorang itu boleh digugat sebegitu senang oleh sebuah buku biografi, maka masalah keteguhan iman seseorang itu terletak pada dirinya sendiri, bukannya tanggungjawab Hannah Yeoh.

Sepanjang karier politik Hannah Yeoh sebagai seorang wakil rakyat, beliau pernah menghadiri pelbagai jenis program perayaan umat Islam di dalam masjid mahupun surau. Namun, beliau tetap seorang penganut Kristian yang begitu komited terhadap kepercayaannya.

Jika ini merupakan satu pengajaran buat saya, maka pengajaran itu adalah kita harus yakin terhadap kepercayaan agama kita, bukannya begitu mudah untuk melepaskan akidah kita hanya kerana mengetahui tentang pengalaman hidup orang lain.

Untuk Kamarul Zaman, mungkin dirinya kagum dengan kehebatan “Tuhan Hannah Yeoh”. Namun bagi saya, itu adalah kelemahan iman diri Kamarul Zaman sendiri dan ingin saya menasihatkannya perbanyakkan istighfar. Pada saya, tidak kiralah apa-apa cerita ataupun kisah yang telah ditulis Hannah Yeoh, tidak perlulah kita sebagai umat Islam kagum terhadap kepercayaan atau Tuhan orang lain, jika kita benar-benar mempunyai akidah yang kuat.

Pengalaman Hannah Yeoh semestinya tidak boleh dibandingkan dengan pengalaman ataupun kepercayaan saya kepada Tuhan saya. Malah, jika seseorang umat Islam boleh dipengaruhi begitu senang ataupun terpujuk hanya dengan sesebuah penulisan, maka ingin saya persoalkan bagaimana pula dengan filem-filem Hollywood yang selalu menyebarkan ajaran Kristian? Adakah perlu diharamkan juga?

Bagaimana pula dengan dakwah-dakwah Kristian yang begitu senang didapati dalam laman sosial seperti Youtube. Adakah perlu diharamkan juga? Dan akhirnya, begitu banyak negara barat yang majoriti rakyatnya adalah penganut Kristian, adakah kita perlu mengharamkan umat Islam di Malaysia untuk melawat negara tersebut? Jika jawapannya ya, berapa banyak lagi perkara yang perlu kita haramkan untuk memastikan iman umat Islam di Malaysia ini tidak tergugat?

Kamarul Zaman jelas mengejek kepercayaan dan keimanan saya. Maaf, tetapi iman saya terletak pada diri saya sendiri dan bukannya pada orang lain. Oleh itu, kenyataan Kamarul Zaman merupakan satu penghinaan terhadap saya dan umat Islam di Malaysia, kerana kenyataannya memberikan gambaran seolah-olah iman umat Islam di Malaysia ini senipis kulit bawang.

Pada saya, komitmen Hannah Yeoh terhadap kepercayaan agama beliau adalah soal peribadi beliau dan saya menghormati kepercayaan beliau. Malah, saya lebih senang dengan seorang wakil rakyat yang memilih untuk komited terhadap kepercayaan agamanya daripada seorang wakil rakyat yang komited terhadap kesenangan dan kekayaan hidup di dunia.

Jamaliah Jamaluddin ialah ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pembantu khas Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin dan hos program temu bual “Helo Roket” yang disiarkan secara langsung di Facebook DAP.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

Bimbang dirinya kagum ‘tuhan Hannah Yeoh’, pensyarah buat laporan polis


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments