Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Pihak asing siasat 1MDB, tak malukah kita?

July 2, 2017

Dalam isu 1MDB, kegagalan institusi penguatkuasaan negara kita untuk menyiasat dan bersikap telus dalam skandal 1MDB telah membuka ruang kepada pihak lain yang sudi menyiasat skandal 1MDB.

KOMEN

tuan-ibrahim-3

Oleh Tuan Ibrahim Tuan Man

Kegagalan institusi penguatkuasaan negara di bawah BN membawa negara ke arah bahaya.

Tonggak negara bergantung kepada keyakinan rakyat terhadap sistem negara, termasuklah sistem demokrasi berparlimen, sistem pemisahan kuasa dan seluruh institusi penguat-kuasaan negara – sama ada SPR, SPRM, polis, Jabatan Kehakiman, Pejabat Peguam Negara dan lain-lain.

Rakyat perlu yakin kepada seluruh institusi negara, terutamanya institusi penguatkuasaan dan Jabatan Kehakiman yang bertanggungjawab memastikan peraturan negara dipatuhi oleh semua termasuk pemimpin terbesar negara tanpa pengecualian sedang berjalan dengan adil dan berfungsi dengan baik.

Kegagalan mana-mana sistem ini untuk bertindak secara berdikari akan mendedahkan negara kepada situasi yang bahaya bagi negara kerana ia akan mencabut keyakinan rakyat kepada sistem negara.

Kegagalan kerajaan membina keyakinan rakyat ini akan mendedahkan negara kepada situasi yang bahaya bagi negara. Apabila semua tempat rakyat mengharapkan keadilan bagi membela nasib mereka telah hilang, tidak pelik sekiranya siapa sahaja yang dianggap dapat membantu mereka akan disanjung dan didokong.

Pendek kata, kegagalan kerajaan atau kerakusan kerajaan yang merosakkan keyakinan rakyat terhadap sistem negara adalah pembuka pintu kepada pihak asing mengambil peluang untuk terlibat di dalam urusan sesebuah negara.

Inilah yang terjadi dalam sejarah sebahagian besar negara umat Islam sama ada di era penjajahan atau era moden kini.

Sejarah campur tangan asing di negara Mesir, Iraq, Libya, Algeria, Sudan dan lainnya membuktikan bahawa kerajaan yang bermasalah akan membuka peluang kepada pihak asing untuk menyalurkan bantuan atau dokongan atas alasan bagi menyelesaikan masalah dan kemelut dalam negara.

Kerana menemui jalan buntu dan hilang keyakinan terhadap sistem negara yang tidak lagi berfungsi seperti sepatutnya, maka akan ada rakyat yang akan menerima bantuan tersebut tanpa mengetahui bahawa mereka mungkin sebenarnya mendedahkan negara kepada bahana yang jauh lebih buruk.

Dalam isu 1MDB, kegagalan institusi penguatkuasaan negara kita untuk menyiasat dan bersikap telus dalam skandal 1MDB telah membuka ruang kepada pihak lain yang sudi menyiasat skandal 1MDB.

Contohnya, laporan audit terhadap 1MDB kini masih diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi. SPRM dengan mudahnya menolak kes 1MDB dan berkata ia di bawah siasatan polis. Polis pula berkata kes ini sedang disiasat tanpa ada tempoh waktu yang tetap untuk menyiapkan siasatan.

Sehingga hari ini, Peguam Negara pula tetap berkata tiada bukti sedangkan bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz telah mengesahkan bahawa denda yang dikenakan kepada badan dan institusi kewangan yang melanggar peraturan Bank Negara dalam kes 1MDB mungkin adalah yang tertinggi dalam sejarah.

Kesannya, apabila Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat mengeluarkan laporan siasatan dan pendakwaan sivilnya yang melibatkan 1MDB, ia amat menarik perhatian rakyat kita sendiri.

Persoalannya apakah sistem penguatkuasaan kita sebegitu lemah dibandingkan dengan DOJ? Sudah tentunya tidak.

Tapi apakah sistem penguatkuasaan kita telah dirosakkan kerana ingin mempertahankan sebuah pasangan berkuasa? Tidak pasti, tapi PAS percaya sebilangan besar rakyat sudah ada jawapannya yang tidak perlu dibicara lagi.

PAS tidak membela penyelewengan terutamanya isu yang melibatkan salah urus tadbir negara, rasuah dalam pelbagai isu besar negara termasuklah isu 1MDB, kerugian forex Bank Negara Malaysia, kerugian MAS, kronisme syarikat anak-beranak dan segala bentuk program dan polisi yang membazir wang negara.

Bagi PAS, pelbagai kemelut yang berlaku mesti ditangani dengan cermat dan penuh berhemah. PAS kita berpegang kepada prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan ia bersalah.

Prinsip inilah yang dipegang dalam pelbagai isu besar yang melanda mana-mana individu dalam negara samada tuduhan terhadap pimpinan pembangkang mahu kerajaan.

PAS tidak bersikap dwistandard

PAS tidak bersikap dwistandard kerana ia sudah tidak berlaku adil.

Di dalam isu 1MDB, PAS mengecam kegagalan sistem penguatkuasaan negara untuk bertindak secara berdikari.

Bila siasatan dalaman negara terhadap isu 1MDB akan selesai? Bila laporan audit 1MDB akan didedahkan? Bila Jho Low akan disoalsiasat?

DoJ telah memulakan pendakwaan sivil terhadap individu yang dikaitkan dengan 1MDB tapi pihak penguatkuasaan negara berkata isu ini masih di peringkat siasatan sedangkan skandal ini sudah lama berlaku. Macam mana boleh siasatan dalam negara terhadap kes yang berlaku di dalam negara lebih lambat daripada siasatan di luar negara? Tidak malukah kita? Bukan ini menghakis keyakinan rakyat?

Semua pihak, yang diharapkan rakyat untuk bertindak dalam isu 1MDB telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada kes untuk didakwa. Cuma Bank Negara Malaysia sahaja yang menyatakan bahawa mereka tiada kuasa untuk melakukan pendakwaan terhadap 1MDB, bukannya ianya tiada kes.

1MDB bertegas bahawa wang mereka tidak hilang, masih ada sama ada dalam bentuk aset atau pelaburan. Namun DoJ menyatakan berlaku ‘money laundering’ yang bersumber dari dana 1MDB. Siapa yang betul?

Oleh kerana pihak penguatkuasaan kita gagal bertindak, maka rakyat kini menunggu perbicaraan di mahkamah Amerika Syarikat apabila beberapa nama yang dikaitkan akan dihadapkan ke mahkamah.

Jangan pula nanti ada yang tidak percaya kepada keputusan di mahkamah Amerika Syarikat. Jangan kita rasa adil bila hanya ia sesuai dengan kehendak kita, manakala kalau berlaku sebaliknya kita menentang dan menyatakan ianya tidak adil. Mahkamah bukan diwujudkan bagi membenarkan apa yang kita dakwa.

Memandangkan rakyat sudah hilang keyakinan terhadap sistem penguatkuasaan negara dalam isu 1MDB, maka PAS mendesak agar sebuah Suruhanjaya Diraja Siasatan (RCI) yang bebas dan adil yang turut disertai pihak pembangkang diwujudkan bagi menyiasat dan membentang ‘ kertas putih’, berhubung isu 1MDB.

Isu ini perlu diselesai di dalam negara secepat mungkin supaya tiada pihak yang boleh mengambil kesempatan ke atas isu ini. Diharap semua pihak dapat melobi agar RCI diadakan secepat mungkin untuk 1MDB.

Walaupun PAS mempunyai pengalaman pahit berhubung kertas putih dalam isu Memali, di mana kertas putih itu pun telah menjadi kelabu asap, tapi itu sahaja pilihan yang ada sementara semua parti politik menanti keputusan rakyat di PRU14.

Yakni, rakyat memerlukan sebuah kerajaan baru yang berpaksi kepada keadilan berpandukan wahyu Allah iaitu al-Quran dan Hadis bagi membina masa depan negara yang cemerlang.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man adalah Timbalan Presiden PAS

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments