Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Menjawab tuduhan kami liberal agama

September 6, 2017

Keterbukaan umat Islam lampau menghasilkan kebangkitan mereka kuasa besar. G25 menjawab tuduhan ia mendukung fahaman yang membelakangkan ajaran Islam.

KOMEN

g25-quran

Oleh Nik Abdul Aziz Nik Hassan

Publisiti yang dihebahkan kalangan tertentu kepada masyarakat umum adalah G25 merupakan pakatan liberal dan musuh kepada Islam.

Butir-butir biasanya sebagaimana berikut:

  1. G25 suatu pakatan yang mendukung fahaman liberalisme, pluralisme, LGBT, Kristianisasi, dan meletakkan Islam setaraf dengan agama-agama lain;
  2. Secara implikasi dan tersiratnya ini menbawa maksud anggota pakatan G25 tidak beriman kepada Allah;
  3. G25 tidak menghormati ulama dan membuat pentafsiran hukum fiqh dan teks tanpa sempadan dalam menghidupkan debat dalam agama;
  4. G25 suka mengunakan logik akal untuk mengubah agama mengikut kesesuaian kemodenan semasa demi untuk menjadi agama itu relevan;
  5. G25 tidak yakin Islam boleh mengelolakan dunia;
  6. G25 bersuara di atas nafsu dan G25 membantu masyarakat untuk memperkecilkan Islam; dan
  7. Kesimpulannya, G25 adalah barah negara.

G25 ingin menjawab tuduhan-tuduhan di atas secara berurutan, dengan harapan bahawa sebarang salah faham dapat diperbetulkan dan persepsi negatif Kumpulan kami dapat diperbaiki.

Tuduhan pertama adalah semata-mata andaian sahaja. G25 selama ini tidak pernah mendukung fahaman liberalisme, pluralisme, LGBT, kristianisasi, dan tidak pernah menyatakan Islam setaraf dengan agama lain. Selama ini dalam soal Islam, G25 menekankan bahawa ajaran Islam mengutamakan prinsip keadilan dan kasih sayang.

Jawapan untuk tuduhan kedua. Tuduhan ini juga melulu dan sangat berat sebab ia menyentuh perihal keimanan dan akidah seseorang. Tuduhan sebegini memberi implikasi G25 tergolong sebagai orang-orang yang tidak beriman dan justeru itu terkeluar daripada akidah Islam.

Soal keimanan anggota G25 kepada Allah, hanya Dia sahaja yang mengetahui. Apa yang G25 melakukan selama ini berhubung dengan agama cuma sekadar mempersoalkan kenyataan dan tindakan daripada pihak berkuasa agama dan pandangan ulama tertentu dalam hal tertentu.

Persoalan yang kami timbulkan ini didasarkan kepada pandangan ulama tertentu yang kami yakin akan kepakaran masing-masing dalam bidang yang relevan.

Sebagai contoh, ahli kami, Nik Abdul Aziz, banyak merujuk pandangan ulama seperti Shah Wali Ullah Al Dihlawi dan ulama islah baik di luar negara mahupun ulama tempatan. Buku beliau yang terakhir berjodol “Ide Ide Reformsi Islam Malaysia Kini”.

Tuduhan 3 hingga 7 juga sangat meleset dan menpunyai unsur-unsur fitnah. Sebagaimana yang ternyata di atas, kami senantiasa akan merujuk kepada pandangan ulama autoritas baik yang sebelum mahupun yang semasa, sebelum membuat apa-apa pernyataan mengenai agama.

Pada kami, dalam Islam, yang menjadi sumber pokok ialah Al-Quran dan hadis sahih. Dalam konteks ilmu Al-Quran dan hadis, kami memandang tinggi ulama yang mempunyai metodologi untuk kembali kepada Al-Quran dan hadis berasaskan kepada tradisi ulama besar dalam zaman keagungan Islam silam khususnya di kalangan ulama mutaqaddimin.

Berasaskan tradisi ulama islah, kami menyedari betapa penting tradisi amalan ijtihad melalui jalan istinbad “in all time and space” demi untuk membawa maksud dan formula Al-Quran dalam pembentukkan fiqh semasa.

Melalui pendekatan demikian barulah maksud Al-Quran boleh menjadi formula ke arah menyelesaikan persoalan setempat dan semasa.

Bertolak daripada tradisi ijtihad inilah kami dapati wujud perbezaan pandangan dalam ilmu fiqh. Justeru dalam sejarah wujud berberapa aliran mazhab fiqh tertentu. Yang utamanya di kalangan aliran mazhab ini ialah Hanafi, Maliki, Shafie dan Hanbali. Di antara 4 mazhab ini, Shah Wali Ullah Al Dihlawi, seorang ulama reformis di India, cuba mencari titik pertemuan di antara 2 aliran mazhab yang paling utama pada beliau, iaitu Hanafi dan Shafie. Tujuan pendekatan itu dibuat ialah untuk mencari jalan perpaduan di kalangan kesemua pengikut mahzab.

Demikian juga dalam tradisi perkembangan ilmu tasawuf, kami dapati ada aliran tertentu dalam perkembangan ilmu ini antara yang popularnya ialah aliran doktrin Wahdatul Wujud dan doktrin Wahdatul Shuhud.

Aliran Wahdatul Wujud diasaskan oleh Muhyideen Ibnu Al-Arabi dalam abad ke-13 manakala aliran Wahdatul Shuhud diasaskan oleh Sheikh Ahmad Sirhindi dalam abad ke-17.

Bertolak daripada kedua-dua aliran doktrin yang berbeza ini, Shah Wali Ullah Al Dihlawi dalam abad ke-18 mendekatkan kedua-dua aliran doktrin ini.

Penerangan lebih lanjut dalam soal ini boleh didapati dalam kitab Abaqat karangan ulama India, Shah Ismail Al Shahid. Dalam bukunya, Nik menjelaskan kedua-dua doktrin ini.

Dalam bidang falsafah pula kita didapati wujud konflik pendapat antara Imam Ghazali dengan Al-Farabi dan seterusnya di antara Ibnu Rushd dengan Ghazali.

Sesungguhnya perbezaan perdapat di kalangan ulama besar adalah suatu rahmat yang tersembunyi kepada kita semua. Perbezaan pendapat ini menunjukkan betapa luasnya horizon ilmu agama untuk diamalkan oleh ummah yang berada dalam berbagai budaya di dunia ini.

Berasaskan kepada prinsip keilmuan di atas, apabila pakatan G25 berpegang kepada suatu pandangan ulama yang kami yakin dan tidak bersetuju dengan pandangan ulama yang lain dan pandangan birokrat agama, ia tidaklah pula bermakna G25 menolak Al-Quran, hadis dan pandangan ulama pada keseluruhannya.

Apa yang cuba ditekankan oleh G25 dalam memilih pandangan ini ialah aspek praktikal ajaran Islam dan prinsip keadilan dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk dan negara kini.

Bertolak daripada pandangan di atas juga, G25 tidaklah sekali-kali mempercayai bahawa Islam tidak mampu mengelola dan mentadbir dunia. Cuma apa yang perlu diketahui ialah gagasan Islam dalam zaman Rasulullah dan para sahabat mampu mencipta suatu piagam iaitu Piagam Madinah yang begitu hebat dan terbuka.

Berasaskan kepada semangat dan makna piagam itu, menampakkan ia berupaya untuk menangani persoalan kehidupan masyarakat majmuk. Yang sedihnya kini, Piagam Madinah kurang sekali mendapat perhatian dalam masyarakat kita.

Oleh kerana sifat keterbukaan dan kebijaksanaan Rasulullah dan para sahabat, maka selepas 60 tahun sahaja kewafatan baginda, umat Islam bangkit di dunia sebagai kuasa besar. Seterusnya pula, selepas beberapa abad kemudiannya, tradisi keilmuan Islam yang berpusat di kota Baghdad dan di Andalusia, Spain, mampu mengeksport tamadun ke Eropah sehingga wujud di sana suatu era baru dinamakan Renaissance.

Sebaliknya kini oleh kerana gagasan ummah banyak didominasi oleh fahaman konservatif dan dogmatis, kehidupan ummah menjadi lesu dalam segala-galanya.

Kehidupan ummah pada umumnya terperangkap dalam permainan politik hegemoni baik d iperingkat antarabangsa mahupun di peringkat nasional. Umat Islam juga sudah kehilangan kompas moral dalam bidang politik, ekonomi, dan sosial.

Bertolak daripada worldview negatif demikian, apakah umat Islam kini mampu untuk mengelola dan mentadbir dunia?

Justeru, pemikiran ummah perlu diislahkan (direformasikan). Maksud islah di sini ialah dengan kembali kepada gagasan Al-Quran dan Sunnah sebagaimana dalam zaman keagungan keilmuan Islam dahulu dan menolak sebarang pendekatan taqlid buta kepada kitab ulama.

Dengan demikian barulah umat Islam berupaya dan bertenaga untuk mentransformasikan bangsa bagi mendepani cabaran arus globalisasi yang begini deras dan laju yang pada umumnya dipandu oleh kuasa hegemoni dunia dan kuasa hegemoni tempatan.

* Nik Abdul Aziz Nik Hassan ialah ahli G25.

* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments