Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Hentikan bayar ‘pencen sampai mati’ untuk bekas YB

 | November 13, 2017

Mengapa rakyat harus menanggung kos pencen bekas YB ini sehingga ke akhir hayat mereka lebih-lebih lagi yang berkhidmat sepenggal dan tidak cemerlang?

KOMEN

dewa-rakyat

Tidak lama lagi, ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, iaitu Yang Berhormat (YB), yang kalah di pilihan raya akan datang, akan dibayar pencen sehingga akhir hayat mereka.

Untuk meningkatkan akauntabiliti, saya ingin mencadangkan agar sistem pencen kepada Adun dan ahli Parlimen perlu dirombak semula.

Ini kerana pada tahun kebelakangan ini, gaji dan elaun Adun dan Ahli Parlimen sudah dinaikkan dengan kadar yang banyak.

Pada 2015, Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 2014 di mana gaji bulanan anggota Dewan Rakyat dinaikkan kepada RM16,000 daripada RM11,000, anggota Dewan Negara (RM11,000 daripada RM7,000), Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat (RM22,000 daripada RM16,000) dan Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat (RM31,000 daripada RM20,000).

Bukan itu sahaja, semua DUN di seluruh Malaysia turut meluluskan kenaikan gaji bagi Adun mereka.

Umpamanya, pada tahun yang sama, sidang DUN Pahang meluluskan kenaikan gaji 42 Adun daripada RM4,112 kepada RM11,000 sebulan, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Di Selangor pula, penyelarasan gaji dilakukan pada 2013 lagi. Gaji menteri besar dinaikkan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota Exco kerajaan negeri dari RM6,109.29 kepada RM20,250; Speaker DUN dari RM6,109.29 kepada RM22,500; Timbalan Speaker dari RM3,327.50 kepada RM15,750 dan Adun dari RM6,000 kepada RM11,250.

Oleh itu, YB yang ada hari ini akan menikmati pencen yang jauh lebih lumayan daripada bekas YB terdahulu. Amat tidak adil sekiranya mereka dapat menikmati pencen pada tempoh yang sama seperti YB-YB terdahulu.

Ini belum diambil kira kesan kepada kos pengurusan negara untuk menampung pencen YB yang menikmati gaji baru ini.

Persoalan yang lebih menarik ialah mengapa rakyat harus menanggung kos pencen bekas YB ini sehingga ke akhir hayat mereka?

Apakah yang rakyat dapat daripada “pelaburan” ini, lebih-lebih lagi jika ada YB-YB yang tidak berkhidmat dengan cemerlang ketika dipilih?

Oleh itu, tempoh pencen YB kini perlu dihadkan mengikut tempoh seseorang wakil rakyat itu berkhidmat.

Contohnya, YB yang berkhidmat hanya sepenggal patut hanya dibayar pencen untuk tempoh yang sama sekiranya ia tewas di pilihanraya umum seterusnya. Pencen harus mengikut tempoh seseorang YB berkhidmat dan bukannya sehingga akhir hayat.

Untuk menikmati pencen yang berpanjangan, YB perlu terus berkhidmat dengan cemerlang untuk mencapai kemenangan demi kemenangan di pilihan raya.

Cadangan ini diharap dapat meringankan beban kos pengurusan negara pada tahun depan yang saban hari semakin berat sehingga terjejasnya peratusan yang dapat diperuntukan untuk pembangunan negara. Polisi ini perlu disegerakan sebelum PRU14 diadakan.

Memandangkan YB ini selalu memberitahu rakyat bahawa mereka berpolitik untuk kebaikan negara, maka anggaplah cadangan rombakan semula pencen mereka sebagai satu pengorbanan yang kecil bagi membantu negara mengawal kos pengurusan yang semakin meningkat di masa depan.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments