
Kalau saya ditanya apa yang difaham tentang gerakan #UndiRosak, ia merupakan satu manifestasi pilihan raya bagi rakyat yang sudah bosan dengan tawaran Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Saya akui gerakan #UndiRosak ini tercetus tidak lama selepas Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat menjadi calon perdana menteri PH. Namun saya percaya Dr Mahathir bukanlah satu-satunya faktor gerakan ini terus merebak dan diterima secara meluas.
Banyak lagi isu lain sebagai faktor, isu Suruhanjaya Pilihan Raya berat sebelah, isu manifesto populis, korupsi yang tidak surut dan sebagainya. Ia bergantung kepada pemikiran setiap pendukung.
Ia bermula dengan sangat kecil, dihina, ditempelak, digelar bermacam, dilabel dengan kata-kata kesat. Ketika itu mungkin dilihat kecil kerana masih belum ramai yang bersama, dan masih belum cukup masak untuk difaham mengapa gerakan ini muncul.
Agak pelik apabila serangan terhadap #UndiRosak bukan di level pencacai sahaja, tetapi ia mula mendapat respon (baca: serangan) dari pimpinan parti khususnya PH. Rafizi Ramli, Nurul Izzah Anwar dan Datuk Saifuddin Nasution mengacah di Facebook dan Twitter, manakala Amanah pula meminta polis dan SPR mengambil tindakan terhadap #UndiRosak.
Malah Datuk Ambiga Sreenevasan yang juga bekas bos Bersih yang melawan sistem pilihan raya, turut meminta orang ramai keluar mengundi. Pada hemat saya, mereka inilah yang menjadi “unsung heroes” kepada gerakan #UndiRosak, memberi promosi secara tidak langsung.
Selepas lebih seminggu bertempur di media sosial, akhirnya 2 hari lepas, #UndiRosak mula trending dan mula dipetik ke portal berita online. Ketika ini pencacai yang menyerang sudah mula senyap kerana sedar setiap serangan adalah sebenarnya membantu.
Semalam, tidak semena-mena, gerakan yang pada awalnya hanya dimulakan 2-3 sosok “anonymous” ini, mendapat respons Dr Mahathir sendiri, selaku pimpinan tertinggi PH. Sidang media digunakan sepenuhnya untuk menjawab gerakan #UndiRosak. Ini bukan calang-calang lagi.
Ketika itu, suasana diselubungi perasaan saspens. Apakah mereka menarik brek tangan kerana sebelum ini memperleceh gerakan #UndiRosak? Adakah mereka akur insaf dan mula mendengar pendapat sebuah gerakan yang mula mendapat perhatian media?
Jangkaan saya tidaklah meleset. Kenyataan media Majlis Pimpinan PH bertajuk “#UndiRosak hanya bantu BN menang”, yang tidak satu pun menggambarkan kekhilafan ditemui di pihak mereka.
Sama ada mereka ini sombong dan sengaja tidak mahu ambil tahu tentang arus pergerakan di bawah, atau mereka benar-benar tertekan lantas melontar bola serangan dengan menyalahkan BN, seperti biasa.
Jelaslah, PH berada dalam putaran “denial syndrome”, menyalahkan pihak lain termasuklah pengerusinya menuduh gerakan #UndiRosak dibuat oleh orang Umno dan BN.
Di manakah asas tuduhan ini?
Tujuan PH melalui Dr Mahathir menyerang #UndiRosak dengan tuduhan sedemikian hanyalah untuk membeli insurans sebelum menempuh pilihan raya. Sekiranya PH tewas maka gerakan ini yang akan dipersalahkan, dan ia satu kesinambungan dari tuduhan kononnya gerakan #UndiRosak dipelopor oleh BN.
Kenyataan Dr Mahathir sedikit berbeza dengan kenyataan Majlis Presiden PH, walaupun tidaklah kontradik.
Majlis Presiden PH mengatakan bahawa #UndiRosak hanya bantu BN menang. Ini juga tidak tepat. Kenyataan tersebut mencerminkan kegoyahan PH mendepani fenomena #UndiRosak.
Faktanya, setiap penyertaan #UndiRosak hanya menambah jumlah undian di ruangan “kertas undi ditolak” sahaja, tiada satu undi pun yang mampu dibolot oleh BN, begitu juga PH.
PH akan tetap berkata, setiap #UndiRosak itu merugikan PH, padahal belum tentu lagi undi tersebut niat asalnya dialamatkan kepada PH untuk PRU14.
Contohnya, pengundi Ampang sudah 2 penggal mengundi pembangkang kerana terlalu bencikan BN dan polisinya. Dalam masa sama, PH yang diharapkan membawa agenda perubahan dilihat gagal sementelah istana Disneyland milik Datuk Adam Rosly menambah amarah sedia ada. Malah rasuah penyelewengan yang berlegar di Selangor turut dikompromi dan didiamkan kerana takut hilang sokongan.
Akhirnya, pengundi Ampang mengambil keputusan untuk tidak mahu mengundi PH. Namun pengundi Ampang tidak tergamak pula untuk mengundi BN. Kempen #UndiRosak yang sudah masyhur ketika itu menjadi pilihan, maka pengundi Ampang “Pangkah Semua” di atas kertas undi.
Jadi, tafsiran kononnya #UndiRosak merugikan PH tidak tepat sama sekali. Ia sebenarnya telah mengekang BN dari memperolehi undi benci terhadap PH khususnya selepas menamakan Dr Mahathir sebagai calon PM.
Patutnya PH berterima kasih kepada gerakan #UndiRosak, bukan menyerang, melabel dan menuduh yang bukan-bukan.
Ini baru fasa gelombang pertama movement #UndiRosak. Ia satu gelombang permulaan yang sangat baik sebelum gelombang lain yang mendatang.
#UndiRosak ini adalah satu kempen pelajaran baru untuk pengundi di bawah, dan pengajaran berguna untuk ahli politik di atas. Pelajaran ini penting untuk dikhatam, sebelum suatu pengajaran baru yang jauh lebih besar.
Seperti kata Mahatma Gandhi yang berbunyi: “Mula-mula mereka tak peduli kamu, kemudian mereka tertawakan kamu, kemudian serang kamu, dan akhirnya kamu menang.”
Edy Noor Reduan merupakan seorang pembaca FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.