
Manik mikro plastik ialah bahan pepejal plastik yang tidak larut dalam air dengan saiz 5mm atau kurang. Bahan ini selalu digunakan dalam produk kecantikan dan penjagaan harian anda sebagai agen skrub, agen likat atau sekadar pengisi.
Mengapa manik mikro plastik digunakan dalam produk kosmetik dan penjagaan diri?
Manik mikro plastik digunakan dalam beberapa produk kosmetik dan penjagaan diri untuk membantu membersihkan kulit melalui pengelupasan dan untuk menghapuskan kotoran dan plak pada gigi. Pengelupasan menghilangkan kotoran dan membantu membersihkan liang roma. Sel-sel kulit mati dilonggarkan dan disingkirkan untuk memberikan lapisan permukaan yang terdiri daripada sel-sel yang baru dan muda. Ini membuatkan kulit lembut, licin dan kelihatan lebih cerah.

Bahan manik mikro ini dipilih untuk digunakan sebagai pengelupas atau agen pembersihan gigi kerana ia bersih, boleh dihasilkan dalam saiz seragam dan tidak mempunyai bucu tajam yang melukakan kulit.
Bahaya manik mikro plastik kepada persekitaran
Manik mikro plastik adalah sejenis mikroplastik yang menyumbang kepada masalah sampah laut. Terdapat kebimbangan iaitu jumlah sampah plastik di persekitaran marin boleh membahayakan ekosistem dan zarah kecil yang memasuki persekitaran laut ini boleh dimakan oleh hidupan laut, seterusnya manusia.
Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Environmental Science & Technology, pengkaji daripada McGill University mendapati, terdapat sekurang-kurangnya 300 bilion nanoplastik dalam setiap gram skrub, yang mewakili 0.03% daripada berat plastik dalam skrub.
Para saintis juga menyatakan kebimbangan kerana skrub digunakan secara langsung pada kulit dan pengguna terdedah secara langsung dengan nanoplastik. Nanoplastik boleh memasuki kulit dan merosakkan sel-sel badan.

Walaupun manik mikro daripada produk kecantikan dan penjagaan diri hanya menyumbang kepada kira-kira 0.29% daripada sampah marin, tindakan sukarela diambil oleh industri kecantikan untuk memberhentikan penggunaan bahan ini.
Alternatif lain dalam produk kecantikan
Syarikat-syarikat yang sebelum ini menggunakan manik mikro plastik menukar formulasi atau menggantikannya dengan alternatif yang dibuat dari lilin semula jadi, kanji yang berasal dari jagung atau ubi kayu, rumpai laut, silika, tanah liat dan sebatian semula jadi yang lain.
Terdapat senarai produk kecantikan yang mengandungi dan tidak mengandungi mikroplastik boleh anda dapati secara atas talian. Pilih dan selidik produk kecantikan yang anda gunakan. Jadilah pengguna yang bijak dan bertanggungjawab kepada alam sekitar.
Artikel ini diterbitkan oleh Hello Health Group dan pihaknya tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.