Oleh Khairi Zulfadhli
Jam 11.30 pagi semalam berdesup mesej masuk ke WhatsApp mengkhabarkan seorang kawan telah dijemput oleh pegawai polis dan dibawa ke Balai Polis Batu 9, kemudian dibawa ke Johor untuk tahanan reman. Menurut cerita, beliau ditahan kerana satu tweet yang dikatakan menghina Penaung Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim. Maka saya coretkan sedikit warkah buat peminat bola dan penaung bola sepak seluruh tanahair.
Tuanku dan Rakyat sekalian,
Bola sepak adalah satu seni dan sukan yang dimainkan oleh seluruh rakyat. Dari kecil sehingga besar. Dari dulu, kini dan selamanya bola sepak adalah satu wadah yang menjadi medium rakyat berhibur dan melarikan diri buat sementara waktu dari hiruk pikuk dunia. Ada satu ketenangan dalam jerit pekik penyokong, hayunan ombak menggunakan tangan dan paluan gendang yang sering kedengaran di stadium. Ada yang datang seorang diri, ada yang datang membawa kawan dan ada juga yang datang bersama keluarga untuk meluangkan masa bersama.
Di celah-celah jutaan penyokong yang berada dari Perlis sehingga Johor sehingga ke nun jauh di Sabah, terdapat sekelompok penyokong yang lebih dari kebiasaan dan kegilaan dan kecintaan mereka pada bola sepak dan pasukan melebihi penyokong biasa. Mereka ini digelar ULTRAS. Pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia boleh berbangga dengan Ultras Malaya yang semakin gah di kalangan komuniti ultras sedunia, dan ultras-ultras negeri juga semakin melangkah maju.
Kecintaan mereka tiada tara. Wang, keringat, masa dan tenaga dicurahkan sepenuhnya untuk menyokong. Masih ingat Final Piala AFF di Bukit Jalil pada Disember 2014? Seantero dunia dapat melihat dan merasai atmosfera yang dibawa oleh Ultras Malaya ke dalam Stadium Nasional Bukit Jalil. Kita satu hati melaungkan lagu-lagu dan “chants” untuk memberi semangat kepada pemain di atas padang. Satu hati satu jiwa demi Harimau Malaya.
Tuanku dan Rakyat sekalian,
Masyhur Abdullah adalah seorang peminat bola sepak dari Temerloh, Pahang. Seperti kebanyakan peminat bola sepak yang lain, beliau mempunyai kecintaan mendalam terhadap pasukan bola sepak negeri beliau sendiri yakni Pahang. Norma bagi rakyat negeri masing masing mencintai pasukan negeri masing masing. Saya dari Selangor, dan Gergasi Merah sentiasa di hati saya. Begitu juga rakyat Johor, Harimau Selatan akan sentiasa tersemat kemas sebagai kebanggaan.
Tuanku dan Rakyat sekalian,
Di dalam bola sepak terdapat istilah yang disebut “banter” atau bahasa mudahnya disebut “bahan”. Penyokong Selangor akan “bahan” penyokong Johor, penyokong Johor akan “bahan” penyokong Pahang. Malah “bahan” ini bukan setakat di dalam stadium, malah membawa sehingga ke tempat kerja, sekolah, malah ketika makan di kedai mamak sekalipun.
Aktiviti “bahan-membahan” inilah yang menjadi rencah dan penambah perisa kepada kemeriahan suasana liga bola sepak kita. Mana-mana pasukan yang dibahan pasti penyokongnya akan “berbulu telinga” dan kemudian akan membalas dengan “membahan” kembali.
Tuanku dan Rakyat sekalian,
Masih ingat pada separuh akhir kedua Piala FA 2013 antara Pahang menentang JDT di Stadium Nasional Bukit Jalil? Penyokong Johor mengibarkan tifo “GAJAH PINK” khusus untuk membahan penyokong Pahang. Masih ingat Tuanku pernah mengeluarkan video mengibarkan kipas pink ? Itu untuk membahan Dato’ Vida, yakni penaja utama Pamoga Qu Puteh The Red Warrior bukan? Tuanku juga acap kali mengeluarkan poster dan video di laman Facebook rasmi Johor Southerns Tiger untuk membahan pasukan lain. Itu semua kami ingat, malah kami meraikan suasana ini demi Bola Sepak tanah air.
Tuanku dan Rakyat sekalian,
Gambar Tuanku memakai topi memegang garfu seolah seolah ingin menyantap seekor anak gajah kami faham sebagai satu “bahan”. Seperti “bahan” yang lain, pasti akan ada reaksi dan respon. Tindakan Masyur Abdullah memberi respon kepada “bahan” itu tidak lebih dari seorang penyokong bola sepak yang membalas “bahan” kawannya yang lain. Situasi di sini berubah kerana Tuanku adalah seorang figura besar dalam iklim bola sepak tanah air. Malah Tuanku juga disayangi oleh jutaan rakyat Johor dan penyokong bola sepak seluruh tanah air.
Tidak dapat dinafikan betapa besar sumbangan Tuanku dalam memartabatkan kembali dan menaikkan nama bola sepak Johor sehingga disegani kawan dan digeruni lawan. Piala AFC adalah satu pencapaian yang sangat membanggakan jika dilihat daripada usia penglibatan Tuanku dalam bola sepak Johor. Ditambah lagi dengan pelbagai pembaharuan yang dibawa Tuanku sehingga JDT menjadi sebuah pasukan yang “wajib dikalahkan” dalam setiap perlawanan.
Tuanku dan Rakyat sekalian,
Saya juga seperti jutaan penyokong Johor yang lain tidak bersetuju dengan cara Masyhur Abdullah memberi respon dalam tweet beliau. Saya percaya ada pelbagai lagi kaedah dan lenggok dalam membahan. Saya yakin beliau hanya menzahirkan cinta beliau pada pasukan Pahang dalam caranya yang tersendiri.
Di akhir warkah ini, patik merafak sembah sebagai seorang anak muda yang mengenali Masyhur Abdullah dan seorang anak muda yang mengkagumi kepimpinan Tuanku dalam bola sepak agar berilah pertimbangan sewajarnya kepada beliau. Patik percaya Tuanku adalah seorang pemimpin berjiwa besar dan menerima dan meraikan perbezaan dalam segala sudut.
Demi bola sepak tanah air yang dicintai,
FAM itu musuh yang pasti,
Patik mengundur diri.
Khairi Zulfadhli adalah pembaca FMT
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT
