
K Shanmuga berkata Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan boleh dipinda bagi mengelakkan sebarang percanggahan kepentingan memandangkan kedua-dua peranan itu sekarang ini dimainkan oleh seorang individu.
“Sudah tiba masanya kerajaan PH meminda perlembagaan bagi membuka laluan kepada pemisahan peranan itu dan membolehkan 2 individu dilantik untuk menjalankan fungsi berbeza,” katanya kepada FMT.
Shanmuga mengulas keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang membatalkan 3 pertuduhan pecah amanah berjumlah RM1 juta terhadap bekas pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), N Sundra Rajoo.
Hakim Mariana Yahaya berkata Sundra memiliki imuniti daripada sebarang tindakan pendakwaan mengikut Akta Organisasi Antarabangsa (Keistimewaan dan Immuniti) ketika menjadi pengarah pusat itu.
Hakim juga berkata kuasa budi bicara peguam negara merangkap pendakwa raya awam mengikut Perkara 145(3) untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi kesalahan jenayah tertakluk kepada semakan kehakiman.
“Kuasa peguam negara tidak mutlak tetapi tertakluk kepada penelitian mahkamah,” katanya.
Shanmuga berkata seingatnya, ini pertam kali mahkamah membatalkan pertuduhan jenayah yang dirangka peguam negara.
Keputusan itu sejajar dengan pendirian di negara-negara Komanwel lain, termasuk Singapura, katanya.
Shanmuga berkata sudah tiba masanya pendakwa raya awam, yang dilantik kerajaan, dipertanggungjawabkan atas keputusan-keputusannya.
“Dulu peguam negara yang juga pendakwa raya awam adalah seorang menteri, oleh itu dia menjawab kepada Parlimen. Mahkamah juga keberatan untuk campurtangan kerana rakyat ada remedi menerusi peti undi,” tambahnya.
PH dalam manifestonya berikrar akan memisahkan tanggungjawab peguam negara dan pendakwa raya awam.
Katanya, peguam negara akan dilantik dalam kalangan ahli Parlimenyang layak, dan akan menjadi seorang menteri sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan.
Manakala pendakwa raya awam seorang individu yang bebas daripada kepentingan politik dengan autonomi untuk menjalankan pendakwaan.
Badan Peguam secara konsisten berpendirian peguam negara, selaku pendakwa raya awam, harus bebas dan adil, dan memainkan peranan sebagai penjaga kepentingan awam, tanpa dipengaruhi sebarang pertimbangan politik.
Katanya, peguam negara dalam kedudukan yang bercanggah dari segi kepentingan apabila ahli politik daripada parti pemerintah berdepan prospek pendakwaan.