
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan berkata pelan itu dirangka tanpa persetujuan, penglibatan malah bertentangan dengan pihak berkuasa Palestin.
“Pelan ‘Trump’, sama sekali tidak menghormati dan mengambil kira hak, tuntutan dan kepentingan Palestin sebagai pihak berkepentingan yang selama ini diceroboh, diusir dan ditindas Israel.
“Mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, menjadikan Lembah Jordan sebagai wilayah Israel, mengiktiraf semua penempatan haram di tanah milik Palestin sebagai wilayah berdaulat Israel dan melaksanakan undang-undang Israel di semua wilayah yang diduduki adalah salah, bercanggah dengan kepentingan Palestin dan melanggar ketetapan undang-undang antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Pelan Damai Timur Tengah Trump yang diumum semalam, mencadangkan penyelesaian “2 negara” dan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai “ibu negara Israel yang tidak dibahagikan”.
Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif dilaporkan berkata pelan itu adalah mimpi buruk bagi rantau itu.
Mohamad berkata Umno sama sekali tidak akan mengiktiraf kewujudan negara Israel dan akan terus mengangap Israel sebagai penceroboh dan pengganas ke atas hak, kedaulatan dan kepentingan Palestin.
“Umno akan terus membela, menyokong dan mengiktiraf perjuangan sah Palestin ke atas tanahair mereka.
“Ia akan menggunakan apa jua cara untuk terus mengecam Israel sebagai penceroboh, penaja keganasan dan pelaku pelbagai jenayah perang ke atas Palestin dan rakyatnya,” katanya.