Banjir kilat, kesesakan trafik di KL selepas hujan lebat

Banjir kilat, kesesakan trafik di KL selepas hujan lebat

Jabatan Bomba dan Penyelamat mengesahkan laporan banjir di Hartamas, Taman Tun Dr Ismail dan Sentul.

Kesesakan trafik di Jalan Kuching apabila sebahagian laluan ditenggelami air akibat hujan lebat petang ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ibu negara dilanda banjir kilat selepas hujan lebat petang ini menyebabkan kesesakan trafik teruk untuk warga kota yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Twitter memaklumkan beberapa jalan ditenggelami air, termasuk Jalan Pudu, Jalan Kuching dan Jalan Ampang.

Radio Trafik Astro turut berkongsi gambar di Twitter menunjukkan aliran trafik terjejas di Jalan Segambut akibat banjir kilat.

Jabatan Bomba dan Penyelamat mengesahkan laporan banjir di Jalan Kuching, Jalan Tunku Abdul Halim, Jalan Semantan, Pintasan Segambut, Jalan Segambut, Jalan Kinabalu, Jalan Thambi Abdullah dan Lebuhraya Sultan, serta sesetengah kawasan di Hartamas, Taman Tun Dr Ismail dan Sentul.

Setakat 4 petang tadi, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran ribut petir untuk Kuala Lumpur, Putrajaya, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor yang dijangka berterusan hingga 7 malam nanti.

Ribut petir turut dijangka berlaku di Sabah dan Sarawak hingga 8 malam ini.

Pada 7 dan 8 Mac lalu, beberapa kawasan di Kuala Lumpur teruk terjejas akibat banjir kilat selepas hujan lebat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.