Kedah sambung bayar sewa penempatan sementara mangsa banjir Baling

Kedah sambung bayar sewa penempatan sementara mangsa banjir Baling

Kerajaan negeri akan menanggung sewa penempatan sementara itu sehingga rumah baharu untuk mangsa siap, kata Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

Kejadian banjir di Baling, Kedah, pada Julai tahun lepas menjejaskan 41 kawasan, dengan kerugian dianggarkan RM28 juta. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Kerajaan Negeri Kedah akan menyambung pembayaran sewa penempatan sementara bagi mangsa banjir dan kepala air di Baling pada Julai tahun lepas sehingga rumah baharu mereka siap sepenuhnya.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pembinaan 17 rumah baharu itu sepatutnya siap pada Disember lepas, namun sehingga kini, masih belum siap dibina sepenuhnya.

“Saya akan berbincang dengan pegawai daerah Baling kerana kita sasarkan rumah-rumah itu siap sepenuhnya pada Disember dan kerajaan negeri juga menanggung bayaran sewa rumah mangsa banjir selama enam bulan.

“Tetapi sekarang sudah masuk Januari dan rumah masih belum siap, jadi kita akan bantu untuk sambung bayaran sewa itu sehingga kesemua rumah berkenaan siap dibina sepenuhnya,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kebimbangan mangsa banjir mengenai pembayaran sewa rumah yang mereka duduki kini.

Pada 6 Julai tahun lepas, Sanusi memaklumkan bahawa kerajaan Kedah akan menanggung sepenuhnya bayaran sewa untuk penempatan sementara selama enam bulan bagi mangsa yang kehilangan rumah akibat banjir dan kepala air di Baling pada 4 Julai.

Bencana banjir itu mengakibatkan 41 kawasan di daerah Baling terjejas, dengan kerugian dianggarkan RM28 juta. Tiga nyawa turut terkorban dalam kejadian tersebut, termasuk seorang ibu hamil berusia 23 tahun.

Sementara itu, ditanya mengenai jangkaan tarikh rumah baharu itu siap dibina, Sanusi berkata, beliau akan meminta pihak pemaju untuk memberikan laporan perkembangan proses pembinaan rumah berkenaan.

“Apa pun, tidak boleh lajak hingga Februari sebab sasaran kita Disember (tahun lepas),” katanya.

Dilaporkan pada Julai tahun lepas bahawa Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan membina rumah baharu bagi 17 keluarga yang kehilangan rumah akibat banjir, di tanah berkeluasan lebih satu hektar milik Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Kupang, dengan anggaran kos RM1.5 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.