Felda peruntuk RM5 juta bantu peneroka terkesan banjir

Felda peruntuk RM5 juta bantu peneroka terkesan banjir

Dana itu meliputi naik taraf 80 PPS di 26 kawasan rancangan berisiko tinggi.

Pengerusi Felda Ahmad Shabery Cheek (dua kiri) melihat demonstrasi ‘retort food’ yang akan digunakan oleh mangsa banjir jika mereka mula berpindah ke PPS. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Felda memperuntukan RM5 juta bagi membantu warga peneroka yang terkesan dengan bencana terutama banjir tahun ini, kata pengerusinya Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, peruntukan itu meliputi perancangan menaik taraf 80 pusat pemindahan sementara (PPS) yang mampu menampung 27,000 mangsa di 26 kawasan rancangan berisiko tinggi dilanda banjir.

“Kerja-kerja yang dijalankan termasuk pembaikan paip, pemasangan tangki air tambahan, sewaan generator serta kerja-kerja pembersihan am.

“Kerja menaik taraf ini penting, bagi memberikan keselesaan kepada warga peneroka yang terlibat dengan musibah banjir sepanjang tempoh pemindahan,” katanya menurut Bernama selepas melancarkan program Felda Siap Siaga 2023 peringkat kebangsaan di Felda Seberang Tayor, di Chukai.

Shabery berkata, Felda turut menyediakan 2,000 unit kit kesiapsiagaan banjir bagi kegunaan sebelum, semasa dan selepas banjir, yang mengandungi antaranya beg kalis air 10 liter, lampu suluh pelbagai guna, selipar getah, dan barangan asas kebersihan diri.

“Bagi meningkatkan kesiapsiagaan warga Felda menghadapi banjir, kita juga turut menyediakan latihan kepada petugas sukarelawan, terdiri daripada Jawatankuasa Banjir Peringkat Ibu Pejabat, Wilayah dan Rancangan, pengurus dan petugas rancangan serta NGO Felda,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Felda telah mengenal pasti 60 kawasan rancangan yang berisiko dilanda banjir kali ini, dengan 26 di antaranya dikelaskan sebagai kerap terkesan banjir.

“…yang perlu diberi perhatian bila tiba musim tengkujuh dan ia perlu digerakkan dengan keperluan kepada koordinasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang betul,” katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia pada 6 Nov mengeluarkan kenyataan monsun timur laut atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada hari ini dan berterusan hingga Mac depan, dengan empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, dan barat Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.