Tempatkan pelarian Palestin di Semenanjung, kata menteri Sarawak

Tempatkan pelarian Palestin di Semenanjung, kata menteri Sarawak

Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kenyataannya sebelum ini yang meminta NGO ‘tidak terburu-buru membuat kesimpulan’ adalah kerana Putrajaya masih belum memutuskan perkara itu.

Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sokongannya terhadap Palestin tidak bermakna beliau percaya Sarawak harus menerima rakyatnya sebagai pelarian.
PETALING JAYA:
Sebarang langkah untuk menempatkan semula pelarian Palestin di Malaysia harus dihadkan di Semenanjung dan tidak melibatkan Sarawak, kata seorang menteri negeri itu.

Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kenyataannya awal minggu ini yang meminta menteri persekutuan dari Sarawak dan NGO agar “tidak terburu-buru buat kesimpulan” mengenai perkara itu, tidak bermakna beliau memihak untuk menerima pelarian terbabit di negeri berkenaan, lapor Borneo Post.

Karim berkata ia kerana belum ada perbincangan rasmi oleh Putrajaya untuk mengambil pelarian Palestin.

“Jika kerajaan persekutuan berkata mereka mahu menerima pelarian, saya akan menjadi antara yang pertama mengeluarkan kenyataan untuk mengatakan, tolong jangan pertimbangkan Sarawak, buat di Malaysia Barat dahulu.

“Jangan lihat seolah-olah saya menyokong (mengambil) pelarian. Tetapi seperti yang saya nyatakan sebelum ini, ia adalah isu kemanusiaan,” kata menteri pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan Sarawak itu.

Karim berkata sokongannya terhadap Palestin tidak bermakna beliau percaya Sarawak harus menerima rakyatnya sebagai pelarian. Beliau menambah bahawa bantuan boleh ditawarkan kepada mereka dengan cara lain.

Sebelum ini, gabungan pertubuhan sivil di Sabah dan Sarawak menggesa kerajaan memeriksa dengan betul pencari suaka dari Palestin bagi memastikan unsur militan dan radikal tidak dibenarkan masuk.

Peter John Jaban, dari Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak, berkata kerajaan negeri harus menjaga autonominya ke atas kawalan imigresen, walaupun Perdana Menteri Anwar Ibrahim terus menunjukkan sokongan kepada Hamas.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi dilaporkan menyokong pendirian ini, berkata Sarawak tidak perlu menerima pelarian, terutamanya mereka dari negara yang terkenal dengan keganasan, kemarahan dan kebencian.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh kemudiannya mengecam Nanta dan menuntut beliau menarik balik kenyataannya dan memohon maaf.

Karim kemudian berkata NGO perlu menunggu kerajaan persekutuan membuat keputusan mengenai perkara itu sebelum mengeluarkan kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.