
Ribuan kebanyakannya minoriti Muslim bertaruh nyawa setiap tahun meredah lautan dari kem pelarian Bangladesh menggunakan bot usang, dalam cubaan ke Malaysia atau Indonesia.
Ketika situasi untuk berlayar semakin baik bulan ini, lebih daripada sedozen bot membawa ratusan Rohingya dari Bangladesh tiba di wilayah Aceh, dengan ada penduduk tempatan cuba menghalang mereka mendarat.
Polis Aceh berkata, mereka kini melaksanakan rondaan sepanjang masa.
Pasukan penguat kuasa itu “telah mengarahkan anggotanya di presint pesisir pantai memperhebat kawalan, di sepanjang pantai dan perairan Selat Melaka bagi menghalang kemasukan imigran Rohingya”, katanya dalam kenyataan.
“Polis membuat kawalan 24 jam sehari bagi menghalang imigran Rohingya mendarat di Timur Aceh,” kata Ketua Polis Andy Rahmansyah.
Di Aceh Utara, Ketua Kampung Tanoh Anoe, Amiruddin Ismail memberitahu AFP, bahawa rondaan ditingkatkan malam tadi selepas nelayan dilaporkan melihat bot Rohingya, pada jarak 3km dari pantai bandar Muara Batu.
Nelayan, polis tempatan, dan unit tentera, secara bersama melakukan rondaan di sepanjang pantai sehingga bot yang dikatakan itu tidak lagi kelihatan.
Ketua komuniti nelayan daerah Dewantara, Aceh Utara, Naharuddin, seperti mana kebanyakan rakyat Indonesia menggunakan satu nama, mengesahkan rondaan tersebut kepada AFP.
“Kami segera melakukan kawalan di sepanjang pantai. Apabila nelayan turun ke laut…kami meminta mereka berjaga-jaga,” katanya.
Pakar menyatakan kebimbangan Indonesia akan menjadi negara seterusnya dalam mengetatkan sempadan bagi menghalang pendaratan Rohingya, seperti mana Malaysia, Thailand, dan India.