Mahu turunkan Najib? Tumpaskan BN di Sarawak

Mahu turunkan Najib? Tumpaskan BN di Sarawak

Rakyat diminta bersatu dan berganding bahu menghalang BN daripada menguasai Sarawak

Eddie-Ng-Tien,sarawak

PETALING JAYA:
ADUN Balakong, Ng Tien Chee berpendapat, satu-satunya cara untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah dengan menumbangkan BN di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Beliau berkata, rakyat diminta bersatu dan berganding bahu untuk menghalang BN daripada menguasai Sarawak.

“Perjuangan perlu diteruskan dan cabaran dihadapan kita sekarang adalah Pilihan Raya negeri Sarawak yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Kita perlu berganding bahu untuk menghalang BN daripada terus menguasai negeri Sarawak. Rakyat Sarawak memahami bahawa bagaimana mereka ditindas oleh BN selama ini dan kini tiba masanya untuk suatu perubahan,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam pada itu, Tien Chee yang juga merupakan Setiausaha Organisasi DAP Selangor turut menyeru rakyat tidak berputus asa dalam mendesak Najib untuk berundur.

Katanya, ‘Himpunan Bantah GST’ yang dianjurkan kelmarin perlu diteruskan supaya rakyat tidak lupa tentang kezaliman dan penindasan yang telah dilakukan Najib.

“Saya berpandangan bahawa masih ada harapan buat Malaysia kerana kita nampak masih ada berpuluh ribu rakyat Malaysia yang sanggup berjemur bawah matahari terik pada himpunan Mansuh GST semalam (kelmarin).

“Saya bersama rakyat untuk menentang bukan sahaja GST dan kerajaan BN malah, Perdana Menteri Malaysia Najib Tun Razak kerana saya setuju bahawa beliau adalah perosak negara dan keborosan serta penyelewengan bawah pimpinan beliau telah menyebabkan rakyat Malaysia menderita,” katanya.

Ribuan peserta dilaporkan menyertai Himpunan Bantah GST yang diadakan di hadapan Kompleks Belia Belah Sogo, pada Sabtu.

Himpunan tersebut diadakan setelah genap setahun kerajaan mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) terhadap barangan dan perkhidmatan di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.