Debat Taman Manggis buang masa – Nazri

Debat Taman Manggis buang masa – Nazri

Nazri Aziz berkata, hasil siasatan SPRM lebih relevan daripada hasil debat itu

nazri,taman-manggis

PUTRAJAYA:
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz menyifatkan debat mengenai isu penjualan tanah di Taman Manggis “membazir masa”.

Jelasnya, tiada gunanya berdebat mengenai isu itu, kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat Ketua Menteri, Lim Guan Eng berhubung dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Kenapa mahu berdebat sekarang? Tunggulah hasil siasatan SPRM dan lihat apa yang berlaku nanti. Itu lebih penting daripada membuang masa berdebat,” katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

Nazir berkata, hasil siasatan itu, tidak kira Guan Eng didapati bersalah atau sebaliknya, akan menyebabkan debat itu sia-sia.

Menurutnya, ini adalah sebab kenapa Guan Eng serta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan perlu membatalkan debat itu dan membenarkan SPRM meneruskan siasatan mereka.

Tambahnya, hasil siasatan SPRM lebih relevan daripada hasil debat itu.

Minggu lalu, Abdul Rahman mencabar Guan Eng berdebat berhubung isu penjualan tanah di Taman Manggis, dengan RTM dan TV3 menyuarakan kesediaan untuk menyiarkan debat itu.

Hari ini, Abdul Rahman dan Guan Eng bersetuju debat itu perlu diteruskan, sekalipun Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Abu Zahar Ujang mencadangkan debat itu dibatalkan, kerana bimbang ia akan menjejaskan siasatan SPRM.

Abdul Rahman mencabar Guan Eng berdebat mengenai isu tanah Taman Manggis yang didakwanya sudah ditukar milik dan bukan lagi milik Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC), kerana telah dijual kepada pihak ketiga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.