Sabah pula halang Rafizi masuk

Sabah pula halang Rafizi masuk

Rafizi akan sediakan video ceramah untuk penyokong pembangkang di Beaufort.

Rafizi-Ramli
PETALING JAYA : Selepas dihalang memasuki Sarawak sejak 2013, Setiausaha Agung dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli turut dihalang memasuki Sabah hari ini.

“Saya kena gam dari masuk Sabah, Sarawak dah lama gam, sekarang Sabah pula. Lain kali saya sampai Labuan je lah ha3 ambil bot ke Menumbok,” kata Ahli Parlimen Pandan itu menerusi twitternya.

Beliau dalam masa yang sama turut mempersoalkan mengapa kini Sabah turut menghalangnya memasuki negeri berkenaan.

“Saya dah lama kena ban dari Sarawak sejak 2013 lagi. Tapi kenapa Sabah pula nak ban saya? Kesian orang-orang kampung yang dah prepare (sediakan) dan keluar duit.

“Saya akan buat video ceramah khas kepada sahabat-sahabat di Beaufort untuk ceramah malam esok. Ceramah tetap diteruskan. Saya akan photoshop nampak kurus,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pelajar Angkatan Muda Keadilan (AMK) Fahmi Zainol yang bersama-sama dengan Rafizi dalam penerbangan ke Sabah memaklumkan Ahli Parlimen Pandan itu ditahan sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu.

“Saya, (ADUN Klias) Datuk Seri Lajim Ukin, (Ahli Parlimen Penampang) Darrel Leiking, (Pengerusi NOW) Akmal Nasir sedang menunggu. Patutlah kena tahan pun, esok (Datuk Seri) Najib Razak datang Sabah,” katanya di Facebook.

Mengikut notis yang ditandatangani Timbalan Pengarah Imigresen Sabah, Datu Karno Omar, tindakan terhadap Rafizi dibuat mengikut Seksyen 65 (1)(a) Akta Imigresen 1959/1963 di mana kerajaan negeri mengarahkan tiada pas dikeluarkan kepada Rafizi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.