Curi syampu RM111.12, penganggur dipenjara 4 bulan

Curi syampu RM111.12, penganggur dipenjara 4 bulan

Tertuduh dilihat memasukkan beberapa botol syampu ke dalam beg dan keluar dari pasar raya tanpa membayarnya di kaunter.

pencuri

KUALA LUMPUR:
Seorang penganggur yang mengaku bersalah mencuri lapan botol syampu bernilai RM111.12, dipenjara empat bulan selepas merayu supaya dihukum penjara kerana tidak mampu membayar denda.

Majistret Mohd Faizal Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Fairuz Othman, 34, dan memerintahkannya menjalani hukuman itu dari tarikh tangkap pada 20 Mei lepas.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pasaraya Mydin Sinar Kota, Jalan Silang di sini pada 11.41 pagi, 20 Mei lepas mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Fairuz yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara kerana dia tidak mampu untuk membayar denda.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul Anwar memohon agar tertuduh dikenakan hukuman yang setimpal dan berbentuk pengajaran.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian seorang pengawal keselamatan melihat tertuduh memasukkan beberapa botol syampu ke dalam beg dan keluar tanpa membayarnya di kaunter.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.