
Dalam artikel terkini di blognya, menteri komunikasi dan multimedia itu berkata komen Dr Mahathir menunjukkan beliau tidak sedar dunia sudah berubah sepanjang 14 tahun lalu sejak beliau bukan lagi perdana menteri, yang China bangkit dengan hebat sejak 1990-an.
“China sedang maju dan tidak ada sesiapa boleh menahannya. China melabur di seluruh dunia, menjalinkan kerjasama dan membeli banyak aset,” katanya.
Salleh berkata sia-sia saja untuk menahan kebangkitan China, dan negara seperti Malaysia perlu menerimanya atau berdepan risiko tertinggal di belakang, kerana globalisasi juga bermakna berakhirnya perlindungan.
“Anda tidak boleh harap pelaburan langsung asing (FDI) atau duit masuk ke dalam negara anda tetapi tidak bersedia untuk melepaskan beberapa aset tertentu.
“Inilah realiti ‘dunia baharu’ dan Dr Mahathir perlu bangun melihatnya. Alternatif lain ialah untuk mengguna pakai dasar tutup pintu dan terkebelakang serta kekal miskin,” katanya.
Semalam, Salleh berkata Dr Mahathir tidak faham makna FDI dan kedaulatan selepas bekas perdana menteri itu mendakwa tanah yang dijual kepada orang luar akan menjadi tanah asing.
Dalam blognya, salleh berkata hanya kerana orang luar memiliki sebidang tanah, ia tidak memberikan kedaulatan kepada hartanah mereka dan pelaburan asing juga termasuk menubuhkan syarikat perdagangan, pelaburan hartanah, resort, kelab dan padang golf.