
Datuk Seri Muhammad Ibrahim berkata, ia susulan langkah diambil BNM dan Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) Disember lalu untuk menyekat aktiviti spekulasi di pasaran luar pesisir dan menyelaras keseimbangan pasaran mata wang domestik.
“Langkah yang dilaksanakan Disember lalu menyebabkan ringgit semakin stabil dan kegiatan spekulasi juga berkurangan.
“(Proses) penstabilan mengambil masa 3 hingga 6 bulan sebelum ia betul-betul menunjukkan hasilnya, namun keputusan awal menunjukkan ringgit semakin stabil,” katanya selepas majlis pelancaran Karnival Kewangan 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Beliau berkata, langkah penstabilan itu penting bagi melindungi pelabur jangka panjang dan ekonomi negara.
Pada 20 Disember lalu, nilai ringgit merosot ke paras terendah sejak 19 tahun mencecah RM4.4785 berbanding dolar Amerika.
Beliau tidak menolak kemungkinan memperkenalkan langkah baru bagi mengukuhkan kaedah sedia ada bagi menstabilkan ringgit, jika perlu.
“Namun, ia bukan dalam bentuk kawalan modal atau menetapkan nilai ringgit, tetapi untuk menstabilkannya.”
Terdahulu, Muhammad dalam ucapannya menyifatkan pandangan pemerhati ekonomi untuk meletakkan nilai ringgit pada tahap tertentu sebagai nilai keseimbangan adalah tidak tepat dan tidak produktif.
“Ia seolah-olah mencadangkan satu sasaran nilai untuk kita capai bagi memastikan keseimbangan ekonomi. Ini tidak produktif.
“Kita tidak harus terlalu tertumpu kepada nilai keseimbangan kerana nilai sentiasa berubah dalam keadaan ekonomi global yang mencabar, tidak menentu dan dinamik,” katanya.