China: Shahrir Samad kritik pendapat tak konsisten Dr M

China: Shahrir Samad kritik pendapat tak konsisten Dr M

Ahli Parlimen Johor Bahru mengkritik sikap Dr Mahathir yang sering tidak konsisten dengan pendapatnya.

Shahrir-Samad_mahathir_johor_600
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menempelak sikap Tun Dr Mahathir Mohamad yang sering membuat pusingan “U” dengan kenyataan berbeza-beza.

Ia termasuklah kenyataan tentang kemasukan lebih 700,000 warga China ke negara ini dengan pelaksanaan projek Forest City di Johor.

“Bagaimana Dr Mahathir berkata projek Forest City itu akan membawa lebih 700,000 warga China?

“Sebelum ini kita dimomokkan 700,000 warga China akan digunakan kerajaan BN yang jahat ini untuk mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya pada sidang media di Menara Felda.

Justeru, tindakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mengkritik Dr Mahathir mempunyai kebenarannya, kata Shahrir.

Sultan Johor mendakwa bekas perdana menteri itu cuba memainkan “politik perkauman” dalam cubaannya menghalau pelaburan China dari negeri itu.

Dr Mahathir juga pernah mendakwa warga China berkenaan akan diberi kad pengenalan bagi membolehkan mereka mengundi pada PRU14.

Bagaimanapun hari ini, akhbar The Star menerbitkan sepenuhnya penjelasan balas Dr Mahathir mengenai bantahannya terhadap Forest City, projek pembangunan mega berhampiran Singapura yang terdiri daripada 4 pulau rekaan manusia seluas hampir 1,400 hektar, dan dipercayai menelan belanja AS$100 bilion.

Dr Mahathir mempertahankan dakwaannya, dan berkata mengundang pemaju asing dalam industri hartanah bukan satu bentuk pelaburan menguntungkan rakyat Malaysia.

Selain Shahrir, Datuk Seri Md Salleh Said Keruak hari ini turut mempersoalkan motif Dr Mahathir mempertikaikan kemasukan pelabur China dan mempertahankan tindakan Sultan Johor serta berkata ia hanya untuk menarik pelabur asing tanpa mengira negara.

Sementara itu, Shahrir turut melahirkan kegembiraan apabila Dr Mahathir berkata akan meneruskan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) jika pembangkang menumbangkan kerajaan BN pada pilihan raya akan datang.

“Saya gembira BR1M diterima oleh Dr Mahathir yang pada mulanya berkata ia sebagai rasuah dan dedak. Jelas Dr Mahathir sering buat U-turn,” katanya.

Biarlah jika saya dituduh derhaka, Dr Mahathir jawab Sultan Johor

China: Yang untung adalah Malaysia, kata Salleh

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.