Rafizi kepada Felda: Kalau betul ada ketirisan, dakwalah

Rafizi kepada Felda: Kalau betul ada ketirisan, dakwalah

Tan Sri Shahrir Samad digesa mendakwa mereka yang terlibat dalam rasuah, boros dan pembaziran jika ikhlas selesaikan masalah Felda

rafizi-ramli_Shahrir-Samad_felda_600
PETALING JAYA:
Rafizi Ramli menggesa pengerusi baharu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Tan Sri Shahrir Samad supaya mengambil tindakan terhadap mereka yang rasuah, boros dan membazir, jika ikhlas membersihkan agensi daripada penyelewengan dan ketirisan.

Ahli Parlimen Pandan hari ini berkata keikhlasan Shahrir untuk menyelamatkan Felda akan dinilai dari kesungguhan yang ditunjukkan.

“Kalaupun beliau tidak berani mengheret mereka ini ke muka pengadilan, sekurang-kurangnya Shahrir perlu membuktikan kesungguhan untuk menghentikan amalan boros dan pembaziran Felda yang kita semua sedia maklum,” kata Rafizi.

Pelantikan Shahrir menggantikan Tan Sri Isa Samad dilihat sebagai langkah untuk meredakan kemarahan rakyat terutamanya peneroka Felda menjelang pilihan raya umum ke-14.

“Kita juga maklum taktik Umno iaitu merehatkan pemimpin yang tidak popular dan tidak menyelesaikan masalah itu. Bila menang balik pemimpin itu akan diberi pangkat yang lain,” tambah beliau.

Walaupun begitu, Rafizi berkata masalah di Felda bukan hanya mengenai kemarahan rakyat pada Isa semata-mata tetapi juga berkaitan masalah yang meruncing dalam Felda.

Rafizi turut mencabar Shahrir untuk melupuskan hak ke atas 2 unit kondominium mewah yang didakwa dibeli dengan harga RM8.7 juta oleh anak syarikatnya Felda Global Ventures (FGV).

Beliau mendakwa penyata kewangan 2015 menunjukkan hartanah tersebut disenaraikan sebagai pelaburan tetapi tidak menjana apa-apa pendapatan.

“Ia tidak memanfaatkan sesiapa kecuali pengurusan kanan FGV. Ini yang disebut sebagai pembaziran,” kata beliau lagi.

Kegagalan Shahrir berbuat demikian akan menunjukkan rancangan meletakkan beliau bagi meredakan kemarahan rakyat tidak berkesan.

Kata Rafizi lagi, isu pembelian kondominium mewah sudah dibangkitkan tahun lepas tetapi masih tiada tindakan susulan.

“Laporan polis sudah pun dibuat tentang beberapa isu penyelewangan dan ketirisan Felda termasuk isu pembelian 2 kondominium mewah itu yang terletak di tengah ibu kota (Kuala Lumpur),” katanya.

Beliau juga mahu Shahrir menyatakan jumlah kerugian yang terpaksa ditanggung Felda jika 2 unit tersebut dijual berdasarkan faktor nilai hartanah mewah yang menyusut antara 10%-15%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.